Mouthguard Ramadan terlepas lima kali kebetulan atau disengajakan?

INSIDEN pelindung gigi (mouthguard) Ramadan Ondash yang terlucut sebanyak lima kali sepanjang pertarungan menentang Muhammad Johan Ghazali Zulfikar (Jojo) menjadi antara perkara paling diperdebatkan selepas aksi ONE Championship: The Inner Circle 24 di Stadium Lumpinee, Bangkok pada Jumaat malam.
Pertarungan tiga pusingan itu beberapa kali dihentikan seketika apabila pelindung gigi petarung Lubnan berkenaan terlucut, terutama ketika Jojo mula meningkatkan tekanan menerusi serangan agresif.
Situasi berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat apabila sebahagian daripada mereka mendakwa insiden berulang itu memberi kesan terhadap momentum Jojo, selain mempersoalkan sama ada ia berlaku secara kebetulan atau memberi kelebihan kepada Ramadan untuk mendapatkan ruang bernafas.
Malah, ada peminat mendakwa mereka menyedari setiap kali sebelum pelindung gigi itu terlucut, Ramadan dilihat mula tercungap-cungap dan berdepan tekanan ketika Jojo meningkatkan asakan.
Pemerhatian itu mengundang spekulasi dalam kalangan peminat bahawa tindakan berkenaan mungkin memberi peluang kepada Ramadan mendapatkan semula tenaga serta menghentikan rentak pertarungan ketika Jojo mula menemui momentum.
Ramai peminat turut menyifatkan kejadian berulang itu sebagai "taktik kotor", selain mempersoalkan tindakan pengadil yang hanya melayangkan kad kuning kepada Ramadan pada pusingan ketiga.
Ramadan bagaimanapun terus meneruskan aksi sebelum keputusan akhir diumumkan memihak kepadanya menerusi keputusan split decision juri.
Isu pelindung gigi itu turut mendapat perhatian Jojo yang secara berseloroh mengulas keadaan berkenaan dengan mencadangkan Ramadan mendapatkan pelindung gigi baharu.
"Ramadan sangat kaya, tolong dapatkan pelindung gigi baharu," katanya seperti dipetik beberapa laporan media antarabangsa.
Pertarungan sengit itu menyaksikan Ramadan dinilai lebih aktif dan efektif pada dua pusingan terakhir untuk mengatasi Jojo selepas tiga pusingan aksi di Stadium Lumpinee.
Kekalahan itu menyaksikan Jojo gagal mencatat kemenangan dalam misi kebangkitan selepas sebelum ini tewas kepada Shimon Yoshinari menerusi keputusan juri dalam aksi ONE Samurai 1 di Tokyo, April lalu.
Jojo kini mengumpul lima kekalahan daripada 12 aksi pertarungan di pentas ONE Championship.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
