Bob T20 menang, kampung tergadai

PENAJAAN Bob T20 terhadap Ramadan Ondash menjadi perhatian selepas petarung Lubnan itu mengatasi Muhammad Johan Ghazali Zulfikar (Jojo) menerusi keputusan juri split decision juri dalam aksi ONE Championship: The Inner Circle 24 di Stadium Lumpinee, Bangkok pada Jumaat malam.
Ramadan selepas pertarungan itu tidak lupa mengucapkan penghargaan kepada penajanya yang memberikan sokongan sepanjang persiapan menghadapi Jojo.
"Terima kasih kepada penaja saya, Bob T20 untuk pertarungan kali ini," katanya.
Sebelum aksi berkenaan, Bob T20 yang juga mempengaruh media sosial tampil sebagai antara penaja utama Ramadan, malah mengakui keputusan menaja petarung Lubnan itu didorong rasa tidak puas hati peribadi terhadap Jojo.
Menerusi satu sesi podcast, Bob T20 berkata, beliau berharap Ramadan mampu menewaskan Jojo, malah mengimpikan kemenangan menerusi tumbukan kalah mati (KO) seawal pusingan pertama.
"Aku memang harap dia (Jojo) kalah. Sebab apa? Sebab bila dia kalah, itu bermaksud aku dah kalahkan dia tanpa perlu masuk ring," katanya.
Kemenangan Ramadan menerusi keputusan split decision juri selepas tiga pusingan menyaksikan hasrat Bob T20 itu tercapai, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat sukan tempur tempatan.
Sebahagian penyokong mempertahankan tindakan BoB dengan berpendapat sebagai penaja, beliau mempunyai hak menentukan siapa yang mahu disokong, selain menggunakan sumber kewangan sendiri.
Namun, ada juga yang mengkritik keputusan tersebut dan menyifatkan sokongan terhadap petarung luar yang menentang wakil negara sebagai tindakan yang kurang patriotik, terutama selepas beberapa kenyataan Bob T20 mengenai Jojo sebelum pertarungan.
Dalam media sosial, sebahagian peminat turut menyifatkan kemenangan Ramadan sebagai "impian bob yang tertunai", malah ada yang menggunakan perumpamaan "kampung tergadai" bagi menggambarkan kontroversi apabila seorang rakyat Malaysia menyokong lawan atlet negara sendiri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
