Ramadan sudah goyang - Jojo

MUHAMMAD Johan Ghazali Zulfikar percaya tekanan semakin dirasai Ramadan Ondash menjelang pertemuan mereka di ONE Championship: The Inner Circle 24 di Stadium Lumpinee, Bangkok malam ini selepas melihat perubahan pada keyakinan pencabar dari Lubnan itu.
Petarung sensasi Malaysia itu berkata, aspek mental bakal memainkan peranan penting apabila mereka berdepan dalam pertarungan yang dijangka sengit, selain menganggap pengalaman beraksi dalam pentas ONE Championship memberinya kelebihan.
Menurut Johan atau lebih dikenali sebagai Jojo, beliau melihat Ramadan tidak lagi menunjukkan tahap keyakinan sama seperti sebelum ini apabila berdepan cabaran besar dalam kariernya.
"Keyakinannya semakin berkurang. Saya rasa dia mula merasai tekanan dan perkara itu boleh memberi kesan ketika pertarungan.
"Tetapi saya tetap menghormatinya sebagai seorang petarung. Dia memiliki kemahiran dan saya perlu bersedia menghadapi versi terbaik dirinya," katanya.
Johan berkata, persediaan mental sama penting dengan aspek fizikal menjelang pertarungan itu, namun beliau tidak mahu terlalu memikirkan keadaan lawan sebaliknya memberi tumpuan kepada pelan pertarungan sendiri.
Pertarungan malam ini menemukan dua prospek muda berusia 19 tahun apabila Johan dan Ramadan masing-masing membawa reputasi sebagai antara bakat yang sedang meningkat naik dalam ONE Championship.
Johan hadir dengan misi kebangkitan selepas tewas kepada Shimon Yoshinari menerusi keputusan juri dalam aksi ONE Samurai 1 di Tokyo, April lalu.
Sebelum itu, petarung kelahiran Malaysia itu mencatat dua kemenangan berturut-turut ke atas Ye Yint Naung dan Zakaria El Jamari.
Sepanjang 12 pertarungan di pentas ONE Championship, Johan merekodkan lapan kemenangan dan empat kekalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
