Wanita PKR gesa hentikan politik kebencian, takfiri

 Wanita Keadilan Malaysia mengecam tindakan segelintir penyokong PN yang didakwa melabel penyokong PH sebagai 'Melayu pun tak ingat, agama pun tiada' - Gambar hiasan
Wanita Keadilan Malaysia mengecam tindakan segelintir penyokong PN yang didakwa melabel penyokong PH sebagai 'Melayu pun tak ingat, agama pun tiada' - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM –  [DIKEMAS KINI] Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecam tindakan segelintir penyokong Perikatan Nasional (PN) yang didakwa melabel penyokong Pakatan Harapan (PH) sebagai 'Melayu pun tak ingat, agama pun tiada' sehingga mempertikaikan sama ada mereka boleh mengucap dua kalimah syahadah.

Wanita PKR dalam satu kenyataan berkata, kenyataan sedemikian bukan sahaja bersifat fitnah dan menghina maruah individu, malah membawa unsur politik takfiri yang disifatkan amat berbahaya.

Menurut kenyataan itu, perbezaan pegangan politik sama sekali tidak memberi hak kepada mana-mana pihak untuk mempertikaikan akidah, keislaman atau keimanan seseorang.

"Islam mengajar umatnya agar berlaku adil, menjaga lisan serta mengelakkan prasangka dan tuduhan tanpa bukti.

"Menjatuhkan hukum terhadap seseorang hanya kerana pilihan politik ialah perbuatan yang bertentangan dengan nilai Islam serta mencemarkan kemuliaan agama," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut kenyataan itu, pilihan raya sepatutnya menjadi medan persaingan idea, dasar dan tawaran kepada rakyat, bukannya pentas menyemai kebencian, memecahbelahkan masyarakat atau mengeksploitasi sentimen agama demi meraih sokongan politik.

Sehubungan itu, Wanita Keadilan Malaysia menyeru semua pemimpin politik supaya bertanggungjawab menolak budaya politik kebencian dan menghentikan sebarang naratif yang menghasut permusuhan sesama rakyat.

Katanya, keamanan negara dan perpaduan masyarakat jauh lebih penting daripada kepentingan politik yang sempit.

"Semua pihak juga digesa berkempen secara matang, beretika dan berasaskan fakta. Hormatilah hak rakyat untuk membuat pilihan tanpa dihina, difitnah atau dipersoalkan keimanan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Politik yang matang ialah politik yang menyatukan, bukan memecahbelahkan. Malaysia memerlukan lebih banyak kewarasan, bukannya politik kebencian dan takfiri," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!