PRN Negeri Sembilan: Susah jangka pemenang, penggabungan BN-PN tukar landskap politik - Pemerhati

KUALA LUMPUR - Pemerhati politik menyifatkan landskap Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan sebagai amat sukar dijangka berikutan perubahan dinamik politik yang menyaksikan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi menentang Pakatan Harapan (PH).
Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Malaysia, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Norhafiza Mohd Hed berkata, situasi berkenaan menjadikan saingan di negeri itu amat unik berbanding pilihan raya negeri sebelum ini.
Katanya, pembahagian kerusi yang menyaksikan persaingan pelbagai penjuru serta demografi pengundi sama ada di kawasan pengundi bercampur mahupun kawasan majoriti Melayu menuntut analisis yang lebih mendalam.
"Susah kita nak jangka siapa yang akan menang dalam PRN ini sebab memang sangat tipis dan juga kalau kita tengok pembahagian kerusi itu juga, ada yang dua penjuru, ada yang tiga penjuru, ada yang lima penjuru, jadi memang agak sukar,” katanya ketika diwawancara di Bernama TV pada Sabtu.
Norhafiza berkata, pendekatan kempen PH yang dilihat lebih tenang disifatkan sebagai satu strategi untuk mengurangkan tekanan persekitaran politik, namun isu semasa tetap memainkan peranan penting dalam membentuk pertimbangan pengundi.
"Isu pilihan raya ini kalau dimainkan dalam media sosial, ia akan menjadi perbincangan awam...sebab kita ini di zaman media sosial. Semua orang baca media, terutamanya Gen Z dan sebagainya jadi mereka ini akan tertumpu kepada isu-isu yang dimainkan di media sosial,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Muhamad Fuad Abdul Karim berpendapat kerjasama BN dan PN lebih didorong oleh strategi meraih undi dan kelebihan politik berbanding kesamaan ideologi.
Katanya, fleksibiliti pakatan politik ibarat dinamika pasaran yang sentiasa memperbaharui strategi penawaran mengikut kehendak semasa pengundi.
"Sebab itu dalam politik, strategi itu lebih utama berbanding daripada ideologi dan sebab itu kita lihat di dalam politik itu, resipinya akan bertukar dari satu masa ke satu masa yang lain,” katanya.
Menyentuh mengenai isu kepimpinan dan personaliti calon di Negeri Sembilan, Muhamad Fuad berkata, persepsi pengundi di negeri itu lebih tertumpu kepada identiti parti berbanding faktor individu.
"Siapa yang akan jadi Menteri Besar, saya rasa di Negeri Sembilan bukan menjadi isu kerana di Negeri Sembilan, politik identiti itu lebih berbanding politik performance.
"Jadi saya melihat bahawa nama parti itu lebih utama berbanding siapa yang akan menjadi Menteri Besar. Berbanding di Johor, Johor pada saya politiknya adalah lebih kepada performance politic,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan sesuatu tawaran atau manifesto bergantung kepada keupayaan parti politik menyediakan penyelesaian realistik bagi kelangsungan hidup rakyat, khususnya dalam menawarkan peluang pekerjaan yang berkualiti untuk golongan muda.
Sebanyak 889,490 pemilih layak mengundi pada PRN kali ini, terdiri daripada 867,151 pengundi biasa, 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
