PRN Negeri Sembilan: Empat sekeluarga teruja mengundi bersama pertama kali

SEREMBAN - Empat sekeluarga menzahirkan rasa teruja dapat menunaikan tanggungjawab mengundi bersama buat pertama kali pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 pada Sabtu.
Jurutera teknologi maklumat, D Chandru, 49, yang hadir bersama ibunya, K Rasamma, 72, serta dua anaknya, C Vishvar, 20, dan C Vikashni, 19, mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kelpin di sini.
Chandru yang juga bapa tunggal berkata, sebelum ini hanya dia dan ibunya sahaja yang mengundi, namun PRN kali ini telah memberi kesempatan untuk kedua-dua anaknya yang merupakan pengundi kali pertama merasai pengalaman meraikan proses demokrasi berkenaan.
"Dua anak saya lelaki dan perempuan baru pertama kali mengundi. Saya gembira kerana kami sekeluarga dapat menunaikan tanggungjawab ini bersama-sama,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, pengalaman mengundi bersama dua anaknya menjadi detik bermakna buat keluarganya, selain berharap generasi muda terus memainkan peranan dalam menentukan masa depan negara.
Empat sekeluarga berkenaan mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambau, yang menyaksikan persaingan tiga penjuru membabitkan Lee Kai Yet daripada Pakatan Harapan (PH), N Sarawanan (Bersatu) dan Erik Michael (Wawasan).
Sebanyak 37.29 peratus atau 320,627 daripada keseluruhan 859,760 pengundi berdaftar telah menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRN berkenaan setakat 12 tengah hari ini.
Sejumlah 91.06 peratus atau 14,995 pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 28 Julai lepas, sekali gus melepasi sasaran 90 peratus ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
SPR menyasarkan kadar keluar mengundi antara 72 dan 75 peratus dengan keputusan dijangka diketahui seawal 10 malam, manakala keputusan penuh diperoleh sebelum tengah malam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
