PRN Negeri Sembilan: 92 laporan polis diterima, 24 kertas siasatan dibuka - KPN

Mohd Khalid beramah mesra bersama pengundi semasa meninjau lokasi proses pengundian PRN Negeri Sembilan di Sekolah Menengah Kebangsaan King George V pada Sabtu. Foto Bernama
Mohd Khalid beramah mesra bersama pengundi semasa meninjau lokasi proses pengundian PRN Negeri Sembilan di Sekolah Menengah Kebangsaan King George V pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 92 laporan polis diterima dengan 24 kertas siasatan dibuka sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang berakhir tengah malam tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, daripada jumlah itu, kebanyakan kesalahan yang dilaporkan membabitkan kes berskala kecil yang dilakukan oleh penyokong mahupun ahli parti selain terdapat empat laporan berkaitan dakwaan pemberian wang kepada pengundi yang kini masih berada dalam siasatan untuk tindakan lanjut.

"Kesalahan yang dilaporkan adalah kesalahan kecil seperti khianat merosakkan banner, bendera, dan poster parti yang bertanding. Setakat ini tiada laporan polis yang melibatkan calon secara langsung dan secara keseluruhannya proses PRN di 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) berjalan dengan baik, lancar dan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau lokasi proses pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V, di sini pada Sabtu, yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri serta Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad.

Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata, kesemua kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mengenai perkembangan siasatan berhubung laporan terhadap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, beliau berkata, pegawai polis telah diaturkan ke Kedah bagi mengambil keterangan Menteri Besar Kedah itu bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

Sementara itu, Mohd Khalid berkata, seramai 5,500 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi menjamin keselamatan sepanjang hari pengundian termasuk pasca pilihan raya berkenaan.

Beliau berkata, sebanyak 26 kawasan hotspot yang dikenal pasti berisiko berlakunya kekecohan turut diberi tumpuan khas, manakala dua pasukan khas yang dilengkapi kamera badan ditempatkan di setiap DUN bagi memantau keadaan secara berterusan.

Sehubungan itu, beliau menasihati kesemua parti politik dan para penyokong agar terus berdisiplin serta mematuhi undang-undang selepas keputusan pilihan raya  diumumkan, selain turut akan mempertingkatkan kawalan keselamatan di lokasi strategik termasuk Pejabat Kerajaan Negeri dan Istana demi memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

Artikel Berkaitan:

Seramai 859,760 pemilih berdaftar, termasuk 7,391 pengundi pos, terlibat dalam proses pengundian hari ini bagi memilih wakil rakyat di 36 kerusi DUN manakala sejumlah 91.06 peratus atau 14,995 pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 28 Julai lepas. - Bernama

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!