PRN Negeri Sembilan: 'Tangan menggigil, berdebar' – Pengundi muda kongsi pengalaman pertama mengundi

SEREMBAN – Kesedaran untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi mendorong golongan muda keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN), hari ini, dengan harapan dapat menyumbang kepada masa depan negara yang lebih baik.
Pereka fesyen dari Kuala Lumpur, Hani Eryqa Mazlan, 21, berkata, dia mengundi kerana percaya setiap undi mempunyai nilai dalam menentukan hala tuju negeri dan negara.
Menurutnya, dia gementar sehingga tangannya menggigil ketika hendak menandakan undi berikutan ini kali pertama dia mengundi bersama adiknya, Hani Mazri Eyna, 20.
"Saya memang berdebar dan menggigil masa nak tanda undi, tetapi saya berharap pilihan yang dibuat dapat membantu menjadikan negara lebih baik berbanding sebelum ini," katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Agama (SMA) Dato Klana Petra Maamor, di sini, Sabtu.

Sementara itu, bagi pengundi muda, M Kavinesh, 18, dari Kampung Jiboi, pengalaman pertama mengundi memberikan perasaan bercampur baur apabila berdepan suasana di pusat mengundi yang dipenuhi orang ramai sehingga menyebabkan dia sedikit keliru.
Anak sulung yang masih menuntut di kolej itu berkata, dia bagaimanapun berjaya menunaikan tanggungjawab tersebut dengan bantuan petugas pilihan raya dan berharap kerajaan yang dipilih nanti dapat membawa perubahan terbaik demi masa depan negara serta generasi akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
