[VIDEO] PRN Negeri Sembilan: Pengundi berkostum Maleficent curi perhatian di pusat mengundi

A
A
A

JEMPOL – Penampilan seorang pengundi yang mengenakan kostum menyerupai watak fiksyen Maleficent mencuri perhatian di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Palong 3, di sini, pada Sabtu.

Roslina Janian, 46, tampil memakai pakaian ala Maleficent dengan mengenakan jubah hitam, aksesori kepala menyerupai tanduk serta membawa tongkat ketika hadir menunaikan tanggungjawab mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Penampilannya yang luar daripada kebiasaan mengundang perhatian pengundi dan petugas di pusat mengundi berkenaan, namun proses pengundian berjalan lancar seperti biasa.

Roslina berkata, dia sengaja memilih pakaian tersebut bagi menampilkan kelainan dan memeriahkan suasana hari mengundi.

Roslina tampil memakai pakaian ala Maleficent mencuri perhatian di pusat mengundi SK Felda Palong 3 pada Sabtu.
Roslina tampil memakai pakaian ala Maleficent mencuri perhatian di pusat mengundi SK Felda Palong 3 pada Sabtu.

Menurutnya, ini bukan kali pertama dia tampil dengan gaya unik ketika mengundi kerana pada pilihan raya sebelum ini, dia bersama beberapa rakannya pernah hadir mengenakan pakaian sekolah sedondon.

"Ini sekadar suka-suka dan mahu tampil berbeza. Walau apa pun penampilan saya, tanggungjawab sebagai rakyat untuk mengundi tetap menjadi keutamaan.

"Pada pilihan raya sebelum ini saya dan rakan-rakan datang memakai pakaian sekolah sedondon. Kali ini saya memilih watak Maleficent kerana mahu mencuba kelainan dan menjadikan hari mengundi lebih meriah.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap lebih ramai rakyat akan keluar mengundi kerana setiap undi amat bermakna dalam menentukan masa depan negeri," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Terdahulu, sebanyak 8.29 peratus atau 71,106 daripada keseluruhan 859,760 pengundi telah menunaikan tanggungjawab masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 setakat jam 9 pagi, Sabtu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu merekodkan peratusan keluar mengundi tertinggi setakat itu, iaitu 10.4 peratus, diikuti DUN Senaling (10.3 peratus) dan DUN Ampangan (9.4 peratus).

DUN Rantau pula merekodkan peratusan keluar mengundi terendah, iaitu 6.4 peratus.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!