PRN Negeri Sembilan: Polis tingkat keselamatan termasuk di Istana selepas keputusan diumumkan

Mohd Khalid pada sidang akhbar selepas melawat pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan King George V
Mohd Khalid pada sidang akhbar selepas melawat pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan King George V
A
A
A

SEREMBAN - Polis akan mempertingkatkan kawalan keselamatan di beberapa lokasi termasuk di Istana Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan pejabat kerajaan negeri bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan diumumkan malam Sabtu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan ada pihak tertentu yang cuba mencetuskan pergeseran kerana tidak berpuas hati dengan keputusan.

Menurutnya, pihaknya bukan sahaja menjaga keselamatan sebelum dan semasa pilihan raya, tetapi juga selepasnya.

"Selepas pasca pilihan raya ini mungkin ada pihak-pihak tertentu yang cuba memusuhi antara satu sama lain sekiranya berlaku perubahan dari segi kepimpinan dan sebagainya atau parti-parti yang menang dan kalah, tidak berpuas hati.

"Ini yang menimbulkan kekuatiran kita. Tapi pada masa sama polis sentiasa mempertingkatkan penjagaan kita di kawasan-kawasan penting terutama di pejabat kerajaan negeri dan juga Istana Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,"katanya.

Beliau berkata demikian ditemui pemberita selepas melawat pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan King George V di sini pada Sabtu.

Justeru, beliau mengingatkan semua penyokong parti supaya kekal berdisiplin dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan keadaan keselamatan kekal terkawal.

Dalam pada itu, Mohd Khalid memaklumkan proses pengundian yang berlangsung setakat ini berjalan lancar.

Mengulas perkembangan siasatan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, beliau berkata, polis sedang mengatur pegawai ke negeri itu bagi mendapatkan keterangan daripada pemimpin berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Perkara ini masih dalam siasatan. Kita cuba mendapatkan kenyataan beliau dan Ketua Polis ada Negeri Sembilan telah mengatur pegawai untuk mendapatkan kenyataannya.

"Saya tidak mahu mana-mana pihak membuat sebarang spekulasi kerana perkara ini memerlukan siasatan lanjut serta bukti daripada pihak-pihak berkaitan untuk melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Peguam Negara," katanya.

Selain itu berkata, sejak hari pertama proses PRN ini bermula, sebanyak 92 laporan polis diterima berkaitan kesalahan pilihan raya dan 24 kertas siasatan dibuka termasuk kes sogokan duit kepada pengundi.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!