Najwan Halimi tamat kursus bakal pegawai Askar Wataniah

SHAH ALAM – Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi menamatkan Kursus Bakal Pegawai (Sukarela) Decentralised Siri 2/2026 Askar Wataniah Malaysia di Kem Sungai Buloh pada Jumaat.
Menerusi hantaran dimuat naik di media sosial, beliau meluahkan rasa syukur kerana berjaya menamatkan kursus berkenaan selepas lebih sedekad berkhidmat sebagai anggota Askar Wataniah.
Menurutnya, beliau mula menyertai Rejimen 502 Askar Wataniah pada 2015 dan selepas lebih 11 tahun akhirnya berpeluang mengikuti kursus untuk ditauliahkan sebagai pegawai.

"Alhamdulillah, semalam saya selesai menamatkan Kursus Bakal Pegawai (Sukarela) Decentralised Siri 2/2026 Askar Wataniah Malaysia di Kem Sungai Buloh.
"Saya mula terlibat sebagai anggota Askar Wataniah dalam Rejimen 502 sejak 2015, setelah lebih 11 tahun, akhirnya berpeluang mengikuti kursus untuk ditauliahkan sebagai pegawai," katanya menerusi hantaran pada Sabtu.
Dalam hantaran sama, Mohd Najwan turut mengajak orang ramai menyertai pasukan Askar Wataniah sebagai salah satu bentuk khidmat kepada negara.
"Jom sertai pasukan Askar Wataniah dan bersama kita berkhidmat untuk negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

