'Raja Bukit' tangkas menghayun berus

KUANTAN – “Seni itu anugerah Tuhan dan ia semestinya harus dinikmati bersama”.
Demikian kata pelukis veteran, Osman Limat, 80, yang lebih empat dekad mengabdikan dirinya kepada dunia seni lukis tanah air.
Di sebalik kelembutan tangannya menghayun berus, ramai tidak menyedari lelaki bertubuh kecil ini pernah menggegar arena sukan negara sebagai pelumba basikal handalan dengan gelaran ‘Raja Bukit’ suatu ketika dahulu.
Ketangkasan menakluki laluan berbukit kini disalurkan sepenuhnya ke atas kanvas, demi memastikan seni terus hidup dan dekat dengan masyarakat.
Bagi Osman, karya seni tidak wajar diukur dengan nilai wang semata-mata, sebaliknya perlu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Lukisan saya memang dijual murah sebab saya berpegang kepada prinsip seni untuk masyarakat.
"Kalau ikut nilai seni, harganya boleh mencecah jutaan ringgit. Tapi saya mahu orang kampung, rakyat biasa, sesiapa sahaja mampu memiliki karya seni saya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Taman Teluk Cempedak baru-baru ini.
Bercerita lanjut, anak jati Johor ini memberitahu, minat terhadap seni bermula sejak usia sembilan tahun apabila beliau gemar menconteng dinding rumah menggunakan arang kayu.

Ujarnya, walaupun perbuatannya itu sering mengundang kemarahan ibunya, kecintaan terhadap melukis semakin berkembang setiap hari.
“Dulu mana ada kertas atau warna, jadi dinding rumah menjadikan tempat melukis.
"Saya pernah dipukul dan disuruh padam contengan di dinding, tapi terus terang cakap minat melukis itu tak pernah padam,” katanya sambil mengimbau kenangan puluhan tahun lalu.
Osman memberitahu, darah seni itu dipercayai mengalir daripada keluarganya apabila ibunya merupakan seorang penari joget dan penyanyi, manakala ayahnya pula seorang pemain akordion.
Cerita beliau lagi, gabungan keindahan muzik dan tari dalam keluarga itu akhirnya mendorong beliau meneroka pelbagai bentuk ekspresi seni, sebelum akhirnya memilih kanvas dan berus sebagai teman hidup.

"Jiwa seni itu memang sudah mengalir dalam diri sejak kecil lagi. Disebabkan itu, saya nekad untuk serius dalam bidang ini sehingga sanggup merantau demi menuntut ilmu," ujarnya.
Nekad mahu mengangkat bakat yang ada, Osman kemudian membawa impiannya menyeberang tambak untuk menuntut di Nanyang Academy of Fine Arts (NAFA), Singapura.
Osman memaklumkan biarpun terpaksa berulang-alik menaiki bas dari Muar selama dua tahun, namun pengorbanan itu sedikit pun tidak melunturkan semangatnya demi ilmu seni.
“Masa itu saya sudah habis sekolah, terus pergi belajar. Penat itu memang ada, tapi sebab minat punya pasal, saya tempuh juga,” luahnya.

Osman turut mendedahkan beliau kini lebih banyak menggunakan media akrilik berbanding cat minyak atas faktor kesihatan.
Jelasnya, faktor usia menyebabkan beliau tidak lagi tahan dengan bau minyak yang boleh mencetuskan asma dan batuk.
"Sekarang saya beralih kepada akrilik. Kadang-kadang saya gunakan teknik cat air, jika ada tempahan, namun saya lebih selesa dengan gaya tersendiri yang menggabungkan sapuan berus halus dan kasar,” jelasnya.
Meskipun mahir dalam pelbagai media, kepakaran utama beliau adalah dalam teknik landskap dan rakaman sejarah Pahang seperti kisah pahlawan Mat Kilau serta Tok Bahaman.
Beliau menggunakan teknik tersendiri untuk menghidupkan suasana alam semula jadi serta perincian sejarah di atas kanvas.
“Teknik ini saya tidak suka komen orang punya, masing-masing berbeza. Bagi saya, setiap lukisan memerlukan fokus tinggi untuk memastikan setiap perincian itu hidup,” katanya.

Sepanjang penglibatannya, Osman telah menghasilkan ribuan karya yang mendapat sambutan luar biasa daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Menurutnya, hasil seninya bukan sahaja menghiasi galeri, malah menjadi buruan pengumpul dan peminat seni tempatan yang menghargai keaslian sentuhan.
Antara kenangan paling manis termasuklah pameran di Milan, Itali apabila puluhan keping lukisan laut yang dihasilkan di atas mountain board habis terjual dalam tempoh hanya satu jam setengah.
“Orang putih di sana sangat menghargai keindahan alam kita. Mereka tidak mahu potret, mereka mahu lukisan laut. "Selain Itali, saya juga pernah mengadakan pameran di Aceh dan Medan, Indonesia serta Taiwan,” kenangnya.

Satu lagi pencapaian bermakna adalah apabila lukisan pertamanya bertemakan 'Lombong Bijih Timah di Gambang' yang dihasilkan secara terus di lokasi dibeli oleh orang kenamaan dengan harga RM15,000 pada era 1970-an.
"Saya tidak sangka ia dihargai sebegitu rupa dan itu juga menjadi antara pembakar semangat saya untuk terus melukis sampai ke hari ini," kongsinya lagi.
Walaupun kini semakin dimamah usia, namun Osman bertekad untuk tidak sesekali meletakkan berusnya selagi hayat dikandung badan.
Baginya, setiap hari adalah kanvas baharu yang perlu diisi dengan warna dan kehidupan.
“Kalau tidak melukis, macam nak demam. Sehari mesti kena 'cakar' satu gambar kecuali kalau sakit atau sudah tidur selamanya," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

