'PRN Negeri Sembilan indikator penting hala tuju penjajaran politik nasional' - Penganalisis

Azrie berkata, keunikan PRN di negeri yang sinonim dengan Adat Perpatih kali ini terletak pada konfigurasi politik yang berbeza daripada kebiasaan. Foto: Bernama
Azrie berkata, keunikan PRN di negeri yang sinonim dengan Adat Perpatih kali ini terletak pada konfigurasi politik yang berbeza daripada kebiasaan. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang diadakan pada Sabtu bukan sekadar menentukan pentadbiran tempatan, sebaliknya berpotensi menjadi indikator penting terhadap hala tuju penjajaran politik nasional pada masa hadapan.

​Penganalisis politik, Dr Azrie Azeh berkata, keunikan PRN di negeri yang sinonim dengan Adat Perpatih kali ini terletak pada konfigurasi politik yang berbeza daripada kebiasaan.

​Menurut beliau, kerjasama politik yang terbentuk di peringkat negeri memperlihatkan dinamika berbeza berbanding peringkat Persekutuan, sekali gus menjadikannya medan menguji kekuatan naratif politik, keberkesanan dasar serta ketahanan kerjasama pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

​"Dalam politik, ada pilihan raya yang sekadar menentukan sebuah kerajaan. Namun, ada pilihan raya yang berupaya mencorakkan semula landskap politik sesebuah negara. PRN Negeri Sembilan 2026 berpotensi menjadi salah satu daripadanya," katanya pada Jumaat.

​Mengulas lanjut, Azrie menjelaskan debaran keputusan pada 1 Ogos 2026 bukan sahaja menyelubungi calon dan parti bertanding, malah turut dirasakan oleh pelabur, penjawat awam, pemain industri, ahli akademik serta rakyat keseluruhannya.

​Ujar beliau, dalam suasana ekonomi global yang belum menentu, rakyat meletakkan kestabilan politik sebagai keutamaan kerana ia menjadi prasyarat kepada pertumbuhan ekonomi dan keyakinan pelabur.

​"PRN ini turut menjadi kayu ukur tahap kematangan demokrasi Malaysia. Pengundi kini semakin kritikal dan beralih kepada penilaian prestasi (performance voting) membabitkan pengurusan krisis, integriti, tadbir urus dan keberkesanan dasar berbanding sentimen semata-mata," katanya.

​Menyentuh mengenai faktor persaingan, beliau memapar pandangan sebahagian besar penganalisis yang melihat Barisan Nasional (BN) mempunyai beberapa kelebihan strategik.

​Antaranya termasuk kekuatan organisasi parti di peringkat akar umbi yang terbina berdekad lamanya, serta keupayaan menarik kelompok pengundi sederhana yang mengutamakan kestabilan pentadbiran.

Artikel Berkaitan:

​"Namun, pengalaman demokrasi membuktikan momentum kempen, sentimen saat akhir, peratusan keluar mengundi dan kecenderungan pengundi atas pagar mampu mengubah keseluruhan keputusan.

​"Analisis sebelum pengundian hanyalah bacaan trend semasa, bukannya jaminan keputusan kerana mandat sebenar tetap di tangan rakyat,"ujarnya.

​Tambah ​beliau, era digital menuntut parti bertanding menguasai naratif dan persepsi awam antara isu nasional yang diangkat di pentas PRN termasuk pendedahan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji, kos sara hidup, inflasi, peluang pekerjaan, rasuah dan reformasi institusi.

​Katanya, kejayaan bergantung kepada konsep issue ownership, iaitu keupayaan parti meyakinkan pengundi bahawa mereka paling berwibawa menyelesaikan masalah kehidupan harian rakyat.

​"Tidak memadai sekadar membangkitkan isu seperti RCI Tabung Haji, sebaliknya parti perlu mengemukakan penyelesaian yang realistik dan meyakinkan," katanya.

​Implikasi hubungan BN-PN, PH-BN dan SG4

​Dari sudut geopolitik parti, beliau menjelaskan sekiranya BN membentuk kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN), ia bakal mempererat hubungan kedua-dua parti di peringkat negeri tetapi mewujudkan cabaran persepsi terhadap kerjasama BN dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, sebaliknya, jika Pakatan Harapan (PH) mengekalkan penguasaan, ia mengukuhkan legitimasi model kerjasama PH-BN di peringkat Persekutuan.

​Keputusan PRN Negeri Sembilan juga katanya akan diperhatikan rapat oleh negeri-negeri State Government 4 (SG4). Kemenangan BN boleh mengukuhkan hujah kepentingan hubungan strategik dengan Kerajaan Persekutuan, manakala kemenangan PH memperkukuh naratif penerimaan rakyat terhadap agenda reformasi.

​Mengakhiri analisisnya, Azrie menjelaskan, mana-mana pihak yang diberikan mandat perlu sedar bahawa kemenangan pilihan raya hanyalah permulaan kepada amanah yang lebih besar.

​"Ukuran sebenar kejayaan bukanlah jumlah kerusi yang dimenangi, tetapi sejauh mana mandat diterjemahkan kepada dasar yang memberi manfaat kepada rakyat dari segi pekerjaan, kos sara hidup, pendidikan dan kesihatan.

​"PRN Negeri Sembilan menjadi cerminan masa depan politik negara. Dalam demokrasi, tiada kemenangan mutlak atau kekalahan berkekalan. Sejarah akan mengingati pihak yang berjaya membina kestabilan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!