Calon PN DUN Gemas gandakan usaha temui pengundi menjelang hari terakhir kempen

GEMAS – Menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada Sabtu, calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas, Ridzuan Ahmad, terus menggandakan usaha bertemu pengundi dalam siri kempen saat akhir di seluruh kawasan DUN berkenaan.
Ridzuan, yang merupakan penyandang kerusi DUN Gemas bagi penggal lalu, dilihat tidak mengenal penat apabila meneruskan sesi ziarah, bertemu masyarakat setempat dan menyantuni pelbagai lapisan penduduk bagi mendengar sendiri pandangan serta keperluan mereka.
Menurut Ridzuan, keutamaannya adalah untuk terus berkhidmat kepada rakyat Gemas sekiranya diberi mandat sekali lagi pada pilihan raya kali ini.
“Saya ingin meneruskan khidmat kepada masyarakat Gemas. Amanah yang diberikan sebelum ini telah saya laksanakan sebaik mungkin, dan saya berharap diberi peluang untuk meneruskan usaha membangunkan kawasan ini serta menjaga kebajikan rakyat,” katanya ketika ditemui pada Jumaat.
Beliau turut menyeru seluruh pengundi DUN Gemas supaya menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian esok demi menentukan masa depan kawasan dan negeri.
Kerusi DUN Gemas menyaksikan persaingan tiga penjuru dalam PRN Negeri Sembilan kali ini, dengan Ridzuan mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada penggal lalu.
Hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan akan berlangsung esok, melibatkan kesemua 36 kerusi DUN di negeri itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
