PRN Negeri Sembilan: Pengundi India menjauhi PH - ILHAM Centre

SHAH ALAM - Pengundi India yang sebelum ini merupakan antara penyokong tegar Pakatan Harapan (PH) dilihat semakin menjauhi gabungan berkenaan menjelang hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini.
Dapatan itu diperoleh menerusi kajian lapangan dijalankan firma penyelik, ILHAM Centre bermula 18 hingga 30 Julai lalu melibatkan 1,002 responden di 36 Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurut ILHAM Centre, terdapat kecenderungan kaum itu mula menjauhkan diri dan beralih kepada parti lawan.
Antara faktor utama ketidakpuasan hati yang dinyatakan termasuk isu penguatkuasaan kenderaan lebih muatan, pendekatan kerajaan dalam pengurusan isu kuil, serta beberapa isu pentadbiran yang dianggap tidak sensitif terhadap keperluan komuniti India.
"Dengan komposisi pengundi India di Negeri Sembilan yang agak signifikan iaitu sekitar 15 peratus, perubahan sentimen ini memberi implikasi besar kepada beberapa kawasan tumpuan," kata firma penyelidik itu menerusi dapatan yang dikongsikan pada Jumaat.
Menurut firma penyelik itu, antara DUN yang mencatatkan peratusan pengundi India yang tinggi ialah Jeram Padang (33 peratus), Seremban Jaya (28 peratus), Sri Tanjung (27 peratus), Rantau (27 peratus), Lukut (26 peratus) dan Mambau (25 peratus).
Ujarnya, pergeseran sokongan di kawasan-kawasan ini memberi kesan langsung kepada keseimbangan undi, khususnya di kerusi yang kompetitif.
"Secara keseluruhan, perubahan sikap pengundi India ini menandakan satu isyarat penting bahawa sokongan tradisi tidak lagi bersifat automatik, sebaliknya semakin bergantung kepada persepsi terhadap kepekaan dasar dan keberkesanan penyampaian kerajaan di peringkat akar umbi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

