Datuk Lembaga Luak Jelebu dakwa mesyuarat khas DKU tidak sah

JELEBU – Datuk-Datuk Lembaga Luak Jelebu mendakwa Mesyuarat Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang dijadual berlangsung pada jam 4 petang, Jumaat, adalah tidak sah di sisi undang-undang dan tidak mempunyai sebarang kesan perundangan.
Dato' Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari, Mohamad Azmi Abdul Aziz yang mewakili Dato-Dato Lembaga Delapan dan Ibu-Ibu Soko sidang media pada Jumaat, memaklumkan mesyuarat khas itu dipanggil melalui notis bertarikh 30 Julai 2026 dan disampaikan kepada Yang Teramat Mulia Undang Luak Johol dan Yang Teramat Mulia Tengku Besar Tampin pada lewat petang, Khamis.
Menurut beliau, Datuk Undang Luak Jelebu ke-16, Datuk Mendika Menteri Akhir Zaman, Datuk Ma'ruf Mak Rasad, tidak dijemput menghadiri mesyuarat khas berkenaan.
Mereka berkata, agenda mesyuarat adalah untuk mendengar aduan-aduan berkaitan Luak Jelebu dan percaya aduan tersebut akan menjurus kepada saranan pemecatan Ma'ruf sebagai Undang Luak Jelebu ke-16.
"Kami percaya mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang hari ini akan menasihatkan agar saranan pemecatan tersebut diterima dan disahkan," katanya pada sidang media itu.
Datuk-Datuk Lembaga Luak Jelebu turut mendakwa beberapa individu yang telah dipecat sebagai ibu soko dan buapak di Luak Jelebu akan dijemput hadir bagi membentangkan tuduhan terhadap Ma'ruf.
Jelas Mohamad Azmi, tindakan itu merupakan modus operandi yang sama yang didakwa pernah digunakan pihak terbabit ketika mengesahkan pemecatan Yang Teramat Mulia Undang Luak Sungai Ujong melalui Mesyuarat Khas Dewan Keadilan dan Undang bertarikh 17 April 2026.
Selain itu, mereka turut mendakwa dua Undang baharu bagi Luak Sungai Ujong dan Luak Rembau yang belum disahkan kedudukan mereka melalui mesyuarat DKU dijangka turut dijemput menghadiri mesyuarat berkenaan.
Ujar beliau, kehadiran mereka akan menyebabkan korum mesyuarat tidak sah mengikut Perkara 17 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
"Maka apa-apa mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang tidak boleh dijalankan mengikut Perkara 20 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
"Oleh itu, apa juga keputusan yang bakal dibuat oleh mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang adalah bersifat tidak berperlembagaan, tidak mempunyai kesan undang-undang dan tidak boleh dikuatkuasakan oleh Kerajaan Negeri Sembilan," katanya.
Mereka juga mendakwa Kerajaan Negeri Sembilan ketika ini berstatus caretaker menjelang Pilihan Raya Negeri dan tidak boleh membuat sebarang keputusan besar sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas 1 Ogos nanti.
Dalam kenyataan sama, Datuk-Datuk Lembaga Luak Jelebu turut merujuk kepada Perintah Injunksi Mahkamah Tinggi Seremban bertarikh 5 Jun lalu yang didakwa menghalang kesemua empat Undang, Tengku Besar Tampin dan Datuk Syahbandar Sungai Ujong daripada menjalankan peranan sebagai anggota Dewan Keadilan dan Undang.
Sehubungan itu, mereka mendakwa tindakan memanggil mesyuarat khas pada Jumaat adalah bertentangan dengan perintah mahkamah berkenaan.
Pada masa sama, mereka menegaskan sokongan kepada Ma'ruf Mak Rasad sebagai Undang Luak Jelebu ke-16.
Mereka turut menegaskan bahawa sebarang keputusan yang dibuat oleh mana-mana pihak selain Datuk-Datuk Lembaga Luak Jelebu yang sah berkaitan kedudukan Undang Luak Jelebu adalah tidak sah dan terbatal mengikut adat serta undang-undang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
