Balai Undang Luak Rembau terima notis merah, diarahkan kosong dalam tempoh 24 jam

REMBAU – Selepas surat arahan pengosongan serta-merta dikeluarkan Pejabat Tanah dan Daerah Rembau kepada Balai Undang Luak Rembau pada 29 Jun lalu, kini premis berkenaan menerima notis merah pula yang mengarahkan pengosongan dalam tempoh 24 jam.
Notis bertarikh 8 Julai itu ditampal pada pagar dengan arahan dikeluarkan oleh Pegawai Daerah Rembau.
Peguam, Emirul Sarifudin Nor Azmi yang mewakili Dato' Sedia Raja Abdul Rahim Yasin berkata, tindakan berkenaan bertentangan dengan prerogatif adat serta undang-undang memandangkan Balai Undang Luak Rembau merupakan pusat pentadbiran adat yang menempatkan Pejabat Dato' Undang Luak Rembau dan pejabat Dato'-Dato' Lembaga Luak Rembau.

"Pihak pentadbiran adat Balai Rasmi Undang Luak Rembau hari ini(Rabu) telah menerima notis merah oleh Pegawai Daerah Rembau untuk mengosongkan premis tersebut dalam tempoh 24 jam.
Tindakan mengarahkan pengosongan dalam tempoh 24 jam tersebut seoalah-olah cubaan untuk menafikan hak serta prerogatif Dato’-Dato’ Lembaga Adat Luak Rembau yang sah dan berkuat kuasa,"katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Malah katanya, notis tersebut juga tidak menyatakan peruntukan undang-undang mana yang diguna pakai untuk mengarahkan pengosongan tersebut.
Beliau berkata, Abdul Rahim melalui surat bertarikh 30 Jun lalu telah mempersoalkan arahan pengosongan tersebut dan meminta Pegawai Daerah Rembau mengemukakan dokumen berkaitan.

"Antaranya ialah perintah atau arahan penurunan beliau sebagai Undang Luak Rembau, keabsahan pelantikan Hassan Abdul Hamid sebagai Undang Luak Rembau ke-22 serta peruntukan undang-undang yang memberi kuasa kepada Pegawai Daerah mengeluarkan arahan pengosongan.
"Namun sehingga hari ini pihak Pegawai Daerah Rembau masih gagal mengemukakan dokumen-dokumen berkenaan," katanya.
Emirul Sarifudin berkata, semua pihak perlu menghormati proses perundangan serta bertindak berlandaskan prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
Tegasnya, tindakan oleh mana-mana pegawai kerajaan yang dibuat tanpa berlandaskan lunas undang-undang dan arahan yang sah boleh dikenakan tindakan tatatertib dan juga jenayah.
"Pihak Pegawai Daerah seharusnya merujuk sebarang hal kepada Dato’-Dato’ Lembaga Luak Rembau yang sah kerana punca kuasa dalam hal menentukan keabsahan kedudukan Undang dalam Luak Rembau adalah secara prerogatifnya terletak pada Dato’-Dato’ Lembaga Tiang Balai Baruh dan Darat Luak Rembau dan telah diamalkan lebih 500 tahun dahulu.
"Ia selaras dengan Perkara 14(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UTKNS) 1959,"katanya.
Tambahnya, tindakan kerajaan juga tidak boleh melangkaui batas kuasa kerana hak dan prerogatif Dato’-Dato’ Lembaga Adat Luak Rembau adalah dilindungi di bawah perkara 32 UUTKNS 1959.
"Pihak Pegawai Daerah Rembau dan kerajaan negeri juga hendaklah bertindak mengikut lunas undang-undang dan tidak menggunakan pendekatan paksaan.
"Sebarang permohonan mendapatkan writ milikan premis boleh dibuat melalui mahkamah tanpa perlu melibatkan kekecohan di dalam situasi krisis adat di Negeri Sembilan yang semakin meruncing kini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

