Kutipan zakat fitrah Pulau Pinang cecah RM10.32 juta, meningkat 16.09 peratus

BUTTERWORTH- Kutipan zakat fitrah di Pulau Pinang bagi tahun 2026 mencatatkan jumlah RM10.32 juta sekali gus melepasi sasaran awal RM10.2 juta dan menjadi pencapaian tertinggi dalam tempoh lima tahun.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Profesor Emeritus Datuk Abd Aziz Tajuddin berkata, jumlah kutipan sebanyak RM10,316,313 itu membuktikan keyakinan masyarakat terhadap pengurusan zakat di negeri ini terus kukuh.
Menurutnya, kutipan tersebut meningkat sebanyak RM1.43 juta atau 16.09 peratus berbanding RM8.89 juta yang direkodkan pada tahun 2025.
“Lebih membanggakan, jumlah kutipan itu turut melepasi sasaran awal sebanyak RM116,313 atau 1.14 peratus.
“Pencapaian ini bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil kerja tersusun para amil, sokongan institusi masjid, penambahbaikan sistem, peluasan saluran pembayaran dan kesedaran umat Islam untuk menunaikan zakat melalui saluran yang sah,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Anugerah Amil Zakat Fitrah Tahun 1447H/2026M di Pusat Konvensyen Picca, di sini pada Khamis.
Abd Aziz berkata, dalam tempoh lima tahun, kutipan zakat fitrah meningkat daripada RM6.59 juta pada 2022 kepada RM10.32 juta pada 2026, iaitu pertambahan sebanyak RM3.73 juta atau 56.63 peratus.
"Pertumbuhan itu mencerminkan sistem kutipan yang semakin matang, capaian yang lebih meluas serta peningkatan keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat," ujarnya.
Bagaimanapun, beliau menambah, kejayaan institusi zakat tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah kutipan semata-mata, sebaliknya sejauh mana hasil kutipan dapat dimanfaatkan bagi meningkatkan taraf hidup golongan asnaf.
Dalam perkembangan sama, Abd Aziz berkata, kutipan zakat fitrah melalui aplikasi Smart Amil dan saluran dalam talian turut menunjukkan peningkatan ketara apabila mencecah RM2.12 juta pada tahun ini berbanding RM877,098.08 pada 2025.
Katanya, peningkatan sebanyak RM1.24 juta atau 141.79 peratus itu menjadikan kutipan digital menyumbang 20.56 peratus daripada keseluruhan kutipan zakat fitrah negeri berbanding hanya 9.87 peratus tahun lalu.
“Ini membuktikan masyarakat semakin menerima kaedah pembayaran yang pantas, mudah dan selamat.
“Namun teknologi tidak menggantikan peranan amil, sebaliknya memperkasakan mereka kerana kepercayaan masyarakat tetap dibina melalui sentuhan insani,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, Mohamad Kairi Ghazalli berkata, seramai 1,686 amil zakat fitrah telah dilantik tahun ini melibatkan 239 kariah di seluruh Pulau Pinang.
Katanya, para amil merupakan barisan hadapan Zakat MAINPP di peringkat akar umbi khususnya di masjid, kariah dan komuniti setempat.
“Ramai beranggapan tugas amil hanya menerima bayaran zakat sedangkan peranan mereka jauh lebih luas iaitu menerangkan hukum, membimbing pembayar memilih kadar yang tepat, memastikan kutipan dibuat melalui saluran sah serta memelihara kepercayaan masyarakat terhadap institusi zakat.
“Amanah ini menuntut ilmu, kesabaran dan akhlak yang baik,” katanya.
Beliau menambah, prinsip pengurusan Zakat MAINPP adalah memastikan setiap dana yang dikutip disalurkan kepada asnaf yang benar-benar layak.
“Tugas kami tidak selesai apabila kutipan diterima, sebaliknya hanya selesai apabila bantuan berjaya disalurkan kepada asnaf mengikut keperluan sebenar mereka,” katanya.
Menurut Mohamad Kairi, sepanjang Ramadan dan menjelang Syawal 1447 Hijrah lalu, Zakat MAINPP telah mengagihkan RM9.83 juta kepada golongan asnaf di seluruh Pulau Pinang.
Katanya, daripada jumlah itu, 14,126 asnaf menerima manfaat menerusi Agihan Zakat Nur Ramadan manakala 7,539 asnaf fakir dan miskin menerima Saguhati Hari Raya.
Selain itu, 235 pesakit di Pusat Hemodialisis Zakat menerima Saguhati Aidilfitri manakala 75 pelajar Inapan Kasih Sayang MAINPP menerima pakaian raya dan duit raya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

