Pulau Pinang pertahan prestasi pelancongan, dakwa laporan DOSM bukan ukuran mutlak

Wong Hon Wai
Wong Hon Wai
A
A
A

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang menegaskan Laporan Survei Pelancongan Domestik 2025 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) tidak wajar dijadikan ukuran mutlak prestasi sektor pelancongan negeri itu kerana ia hanya berdasarkan tinjauan sampel yang turut mengambil kira pelawat sehari serta individu yang pulang ke kampung.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, laporan tersebut merupakan satu tinjauan persampelan yang dibina berdasarkan model statistik serta maklum balas soal selidik dan bukannya rekod sebenar penginapan pelancong.

Menurutnya, hanya 2,830 Blok Penghitungan dijadikan sampel bagi keseluruhan 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan manakala Pulau Pinang hanya melibatkan 205 blok sampel.

“Walaupun kaedah persampelan mempunyai nilai statistik, ia tidak seharusnya digunakan untuk membuat kesimpulan menyeluruh mengenai prestasi industri pelancongan kerana saiz sampel yang terhad mungkin tidak menggambarkan keadaan sebenar,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, data penginapan hotel lebih sesuai dijadikan rujukan kerana ia merupakan rekod sebenar kehadiran pelancong.

Menurutnya, berdasarkan data rasmi Tourism Malaysia bagi tahun 2025, Pulau Pinang merekodkan 8.76 juta tetamu hotel membabitkan 5.29 juta pelancong domestik dan 3.47 juta pelancong antarabangsa.

Katanya, jumlah itu meletakkan Pulau Pinang di kedudukan kelima tertinggi di Malaysia dari segi jumlah tetamu hotel selepas Kuala Lumpur, Pahang, Johor dan Selangor.

“Malah bagi kategori pelancong antarabangsa yang menginap di hotel, Pulau Pinang berada di tempat ketiga selepas Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya.

Mengulas lanjut, Hon Wai berkata, Survei Pelancongan Domestik 2025 menggunakan isi rumah sebagai responden utama dengan bergantung kepada ingatan mereka mengenai perjalanan yang dilakukan sepanjang tempoh setahun lalu dan bukannya merekodkan ketibaan pelawat secara langsung di destinasi pelancongan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pendekatan itu berpotensi menyebabkan jumlah sebenar pelawat ke negeri yang menjadi destinasi pelancongan utama seperti Pulau Pinang direkodkan lebih rendah daripada keadaan sebenar.

Selain itu katanya, definisi pelawat domestik yang digunakan DOSM turut merangkumi pelawat sehari dan individu yang pulang ke kampung untuk menziarahi keluarga, bukan hanya pelancong yang bermalam.

“Sebanyak 35.6 peratus perjalanan adalah bagi tujuan melawat saudara-mara atau rakan, manakala 56.2 peratus menginap di rumah saudara-mara atau rakan.

“Ini bermakna perjalanan pulang ke kampung ketika musim perayaan juga termasuk dalam statistik pelawat domestik walaupun tujuan utamanya bukan pelancongan rekreasi,” katanya.

Beliau berkata, laporan itu turut menunjukkan pelawat sehari membentuk 67 peratus daripada keseluruhan sampel.

Katanya, kumpulan berkenaan lazimnya tidak menginap di hotel dan mempunyai perbelanjaan yang lebih rendah namun tetap menyumbang kepada jumlah keseluruhan pelawat dalam statistik.

“Justeru, data Survei Pelancongan Domestik 2025 mempunyai nilai untuk memahami trend pelancongan namun tidak boleh dijadikan satu-satunya kayu ukur prestasi sebenar sesuatu destinasi kerana dipengaruhi kaedah tinjauan, saiz sampel dan definisi yang digunakan.

“Bagi Pulau Pinang yang terkenal dengan pelancongan bermalam, warisan budaya, seni dan festival, sumbangan sektor pelancongan tidak boleh dinilai hanya berdasarkan satu tinjauan soal selidik,” katanya.

Ends.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!