UNIQSAAS diharap jadi universiti bertaraf dunia- Sultan Pahang

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berharap Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS) berada di landasan terbaik bagi mencapai aspirasi menjadi universiti bertaraf dunia.
Baginda bertitah, penjenamaan semula Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS) kepada
UNIQSAAS adalah usaha meneruskan legasi yang dibina sejak 30 tahun lalu
Titah Al-Sultan Abdullah, usaha berkenaan adalah kesinambungan legasi yang dibina oleh kepimpinan terdahulu termasuk mantan Pengerusi UNIQSAAS, Tan Sri Adnan Yaakob serta Almarhum ayahanda baginda, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.
"Hari ini, saya hanya memanjangkan legasi itu, meningkatkan anjakan paradigma universiti ini ke satu lagi tahap supaya UNIQSAAS akan menjadi satu permata buat negeri dan Rakyat Pahang.
"Saya berharap agar kepimpinan UNIQSAAS dapat memastikan perjalanan institusi itu mencapai tahap terbaik di dunia dan itulah harapan saya,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan istiadat pemasyhuran UNIQSAAS di Auditorium universiti tersebut pada Khamis.
Keberangkatan baginda diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Nazri Abu Bakat dan Naib Canselor UNIQSAAS, Profesor Datuk Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan supaya semua penuntut UNIQSAAS diberikan pembelajaran terbaik.
"Jadi itulah harapan saya supaya semua penuntut-penuntut ini diberi pembelajaran yang terbaik.
"Apa yang perlu maklumlah kepada pihak kerajaan, pihak saya sendiri supaya kita beri keutamaan kepada penuntut-penuntut di universiti ini," titah baginda.
Sementara itu, Nazri berkata, transformasi UNIQSAAS merupakan satu langkah strategik yang menandakan bermulanya era baharu pendidikan tinggi al-Quran di negeri ini.
Beliau berkata, bagi merealisasikan hasrat berkenaan, Kerajaan negeri telah menyalurkan RM150,000 sebagai peruntukan awal bagi melaksanakan gerak kerja penubuhan universiti tersebut.
“Transformasi ini turut diperkukuh melalui kerjasama strategik bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam membentuk hala tuju pembangunan universiti.
“Hasilnya, UNIQSAAS kini berkembang sebagai sebuah universiti yang meletakkan al-Quran sebagai teras pembangunan ilmu, penyelidikan, inovasi dan pembinaan tamadun, di samping terus menawarkan pelbagai program profesional yang memenuhi keperluan semasa,” katanya.
Menurut Nazri, perkembangan positif itu turut dizahirkan menerusi peningkatan jumlah pengambilan pelajar melebihi 2,000 orang, penubuhan Markaz Lughah di bawah Al-Azhar Al-Sharif, Mesir serta kerjasama strategik bersama Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Kesemua pencapaian ini memperkukuh kedudukan UNISAAS sebagai hab kecemerlangan pendidikan al-Quran dan bahasa Arab yang diiktiraf di peringkat nasional serta berpotensi berkembang ke persada antarabangsa,” katanya.
Beliau menambah, UNIQSAAS turut memperkukuh konsep Biah Quraniyyah melalui pelbagai amalan dan program berkaitan al-Quran serta al-Sunnah dalam usaha membudayakan kehidupan berteraskan nilai Islam dalam kalangan warga kampus.
Jelasnya, antara pencapaian penting ialah penganjuran Majlis Khatam Al-Quran Jama'i dan Sama' Hadis bersama Al-Syeikh Al-'Allamah Al-Muhaddith Al-Duktur Al-Mustafa Al-Nadwi.
Pada masa sama, UNIQSAAS turut diberi kepercayaan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Pahang sebagai Pusat Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi sesi 2026/2027 melibatkan hampir 200 pelajar daripada institusi pondok, madrasah dan maahad tahfiz di seluruh negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

