Lindungi minda anak Malaysia

KEBIMBANGAN terhadap kesihatan mental kanak-kanak semakin memuncak susulan pelbagai insiden membabitkan golongan itu mutakhir ini.
Perkembangan itu wajar menjadi peringatan bahawa kesejahteraan emosi, tingkah laku dan perkembangan psikologi golongan tersebut tidak boleh lagi dipandang ringan.
Justeru, kerajaan melarang individu bawah 16 tahun membuka akaun media sosial sendiri sebagai langkah melindungi kanak-kanak daripada ancaman digital.
Ketetapan itu dilihat langkah penting bagi mengurangkan risiko keselamatan dalam talian termasuk ancaman pemangsa siber yang berpotensi mendekati kanak-kanak menerusi pelbagai platform.
Namun, persoalannya, adakah pemantauan perlu diperluaskan kepada permainan dalam talian yang turut menjadi sebahagian besar kehidupan kanak-kanak masa kini?
Platform permainan digital bukan sahaja menawarkan hiburan, malah menyediakan ruang komunikasi antara pengguna yang tidak dikenali.
Tanpa kawalan sewajarnya, ia berpotensi mendedahkan kanak-kanak kepada kandungan negatif, pengaruh ganas atau interaksi berisiko.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Parlimen, Suhaizan Kaiat sebelum ini dilapor berkata, data menunjukkan masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak meningkat daripada 7.9 peratus kepada 16.5 peratus.
Lebih membimbangkan, satu daripada empat remaja berusia 13 hingga 17 tahun dilaporkan mengalami kemurungan.
Kerajaan perlu memperkukuh pemantauan kandungan digital, termasuk permainan dalam talian, di samping meningkatkan literasi digital ibu bapa, guru dan kanak-kanak.
Selain itu, kapasiti talian bantuan krisis perlu diperluas, kempen anti stigma berkaitan kesihatan mental dipergiatkan serta etika pelaporan media diperketatkan agar tidak memberi kesan buruk kepada golongan rentan.
Kanak-kanak hari ini adalah aset negara pada masa depan. Melindungi minda dan emosi mereka sama pentingnya seperti menjaga keselamatan fizikal. Jika dibiarkan, kesannya bukan sahaja kepada individu, malah turut memberi cabaran besar kepada masyarakat dan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
