Empat beradik cari abang kandung yang terpisah untuk bahagi harta pusaka

BESUT - Demi menunaikan amanah terakhir arwah bapa dan menyelesaikan urusan harta pusaka, empat beradik kini giat menjejaki abang kandung berlainan ibu yang terpisah hubungan sejak lebih lima dekad lalu.
Mohd Affandi Semail, 64, berkata, walaupun tidak pernah bersua muka, mereka amat berharap dapat bertemu dengan abang sulung, Ramli Semail, atau sekurang-kurangnya waris terdekat sekiranya lelaki itu telah meninggal dunia.
Menurutnya, pesanan tersebut ditinggalkan oleh arwah bapanya, Semail Hamat, sebelum menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung pada tahun 2004.
"Arwah ayah pernah pesan supaya kami cari abang sulungnya walau dengan apa cara sekalipun untuk pastikan hak dia sebagai seorang anak tak dinafikan dalam urusan pembahagian harta pusaka," katanya ketika ditemui di Kampung Alor Pisang, di sini.
Menceritakan latar belakang keluarga, Mohd Affandi memberitahu bahawa arwah bapanya pernah berkahwin ketika menetap di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, Kelantan dan dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Ramli, yang kini dianggarkan berusia sekitar 80-an.

Bagaimanapun, selepas perceraian berlaku, hubungan mereka terputus kerana arwah bapanya tidak dibenarkan bertemu dengan anak sulungnya oleh bekas isteri.
Katanya, arwah bapanya kemudian berpindah ke Dungun dan berkahwin dengan ibunya di Tok Kah dan dikurniakan lima anak.
"Abang pertama daripada ibu kami telah meninggal dunia beberapa tahun lepas. Kini kami tinggal empat beradik dan masih berhasrat mencari abang sulung daripada perkahwinan pertama ayah yang tidak pernah kami kenali sejak kecil," jelasnya.
Mengulas lanjut mengenai usaha pencarian, Mohd Affandi berkata, maklumat daripada ahli keluarga sebelah ayah dan ibu mengesahkan Ramli dipercayai merantau ke Johor selepas tamat persekolahan.
Katanya, sekitar tahun 1980an, abangnya itu difahamkan bekerja sebagai pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Johor Bahru.
"Alamat terakhir yang kami terima adalah di Taman Air Biru, Johor Bahru. Tapi, bila saya pergi menjejaknya di sana, dia dikatakan telah berpindah ke tempat lain dan selepas itu kami kehilangan jejak sepenuhnya.
"Ibu kepada abang juga diberitahu telah meninggal dunia, manakala saudara-mara sebelah keluarganya turut terputus hubungan," katanya.
Tambahnya lagi, pelbagai inisiatif telah diambil termasuk carian di media sosial seperti Facebook serta semakan rasmi di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), namun semuanya menemui jalan buntu.
"Kami benar-benar berharap dapat bertemu jika beliau masih hidup kerana beliau tetap darah daging kami.
"Jika beliau sudah tiada, kami mohon anak-anak atau warisnya tampil menghubungi kami bagi menyelesaikan urusan pembahagian harta pusaka arwah ayah," ujarnya.
Orang ramai atau waris yang mempunyai maklumat mengenai Ramli Semail diminta menghubungi Mohd Affandi Semail di talian 014-8097268.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

