Genap setahun kehilangan bapa, tiga beradik diuji pula dengan kematian ibu dan adik

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

GUA MUSANG - Genap setahun selepas kehilangan bapa, tiga beradik sekali lagi diuji dengan pemergian ibu dan adik bongsu mereka yang maut dalam kemalangan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Gua Sejuk, di sini hari ini.

Bapa saudara mereka, Mohamad Faizol Yusoff, 34, berkata, kakaknya, Maria Yusoff, 42, menggalas tanggungjawab membesarkan empat anaknya yang berumur 11 hingga 21 tahun selepas suaminya meninggal dunia akibat sakit pada tahun lepas.

"Kakak seorang yang periang dan peramah... biasanya dia akan memberitahu kepada semua orang jika dia ingin ke sesuatu tempat tetapi saya tidak tahu dia akan ke Cameron Highlands hari ini.

"Lebih kurang 9 malam semalam dia ada membuat panggilan video kerana ingin memberitahu tentang perjalanannya tetapi saya tidak sempat bercakap dengannya sebab sudah tertidur, saya berasa sungguh terkilan," katanya kepada pemberita di pekarangan Unit Forensik Hospital Gua Musang, di sini.

Mohamad Faizol berkata, anak sulung arwah, iaitu Nur Balqis Abli, 21, yang turut terlibat dalam kemalangan itu, belum mengetahui nasib yang menimpa ibu dan adiknya kerana masih dirawat di Hospital Gua Musang akibat cedera parah.

"Anak nombor dua dan tiga yang tidak mengikuti rombongan mereka ke Cameron Highlands sudah mengetahui kejadian yang menimpa ibu serta adik bongsu mereka, Muhammad Ziekyr Iman Abli, 11.

"Kami sekeluarga mengetahui tentang tragedi kemalangan tersebut pada kira-kira 10 pagi tadi dan terus bertolak dari Kuala Lumpur ke Gua Musang," katanya.

Mohamad Faizol juga berkata, dia akan menjaga anak-anak arwah bersama dengan adik-beradik lain.

Jenazah kedua-dua beranak itu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubang Tin, Melor, Kota Bharu.

Artikel Berkaitan:

Insiden pada kira-kira 7 pagi itu menyaksikan Maria dan anak lelakinya antara tiga yang maut apabila Perodua Myvi yang mereka naiki dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan serta bertembung dengan treler. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!