Bom tangan di kilang papan rupanya objek kayu

ALOR SETAR – Objek menyerupai bom tangan yang mencetuskan kebimbangan di sebuah kilang papan di Bukit Selambau, Sungai Petani pada Isnin disahkan bukan bahan letupan sebenar, sebaliknya diperbuat daripada kayu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pemeriksaan rapi yang dijalankan Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati objek tersebut tidak berfungsi seperti bom tangan sebenar.
Menurutnya, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian.
"Unit bom telah dihantar ke lokasi dan hasil pemeriksaan mendapati ia bukan bom yang betul, sebaliknya diperbuat daripada kayu yang dibentuk menyerupai bom tangan.
"Turut ditemukan sekeping nota bertulis 'berhenti operasi' yang dipercayai mempunyai unsur ugutan terhadap pihak pengurusan kilang," katanya ketika mengulas perkembangan siasatan kes tersebut pada Rabu.
Pada Isnin, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, sebuah kilang papan di Bukit Selambau digemparkan dengan penemuan objek menyerupai bom tangan bersama sekeping nota tulisan tangan berwarna merah yang membawa maksud supaya operasi kilang dihentikan.
Objek berkenaan ditemukan di hadapan pintu utama pejabat kilang oleh seorang pekerja sebelum pihak polis dihubungi untuk tindakan lanjut.
Jelas Adzli, pihak polis sedang berhubung dengan pengurusan syarikat selain meneliti pelbagai sudut siasatan, termasuk kemungkinan wujud unsur tidak puas hati terhadap syarikat.
Menurutnya, setakat maklumat yang diperoleh daripada pihak syarikat, tiada tindakan seperti pemberhentian pekerja atau penamatan kontrak secara besar-besaran berlaku.
"Pekerja tempatan di kilang itu hanya seramai 36 orang, manakala selebihnya terdiri daripada pekerja asing yang mempunyai permit kerja sah," ujarnya.
Adzli berkata, sampel daripada objek dan bahan yang ditemui di lokasi turut dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis forensik termasuk mendapatkan profil asid deoksiribonukleik (DNA).
Tambahnya, polis turut memperoleh keterangan daripada seorang saksi yang mendakwa melihat seorang lelaki berhampiran lokasi kejadian dan kini dalam proses menghasilkan fotofit bagi membantu siasatan.
Beliau turut memaklumkan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan tidak dapat membantu siasatan kerana didapati tidak berfungsi.
"Sejauh mana ketepatan fotofit itu masih belum dapat dipastikan kerana proses mengenal pasti suspek sedang dijalankan.
"Kita berharap gabungan risikan, analisis forensik dan maklumat saksi akan membantu mengenal pasti individu yang bertanggungjawab," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

