Laporan lengkap tragedi grenad dijangka diterima 23 Julai ini - Khaled Nordin

Mohamed Khaled
Mohamed Khaled
A
A
A

SHAH ALAM – Kementerian Pertahanan dijangka menerima laporan lengkap siasatan insiden letupan grenad yang mengorbankan dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) pada 23 Julai ini selepas proses siasatan dipercepatkan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, adalah terlalu awal untuk menentukan punca sebenar kejadian sebelum siasatan diselesaikan sepenuhnya.

Katanya, mengikut dasar dan prosedur TDM, Markas Tentera Darat diperuntukkan tempoh antara empat hingga lapan minggu untuk menyiapkan laporan siasatan bergantung kepada kes serta semakan balas yang diperlukan.

"Namun, memandangkan kes ini mendapat perhatian serius kementerian, kita telah mempercepatkan proses siasatan dan penyediaan laporan.

"Kementerian telah menerima laporan daripada Markas Pemerintahan Medan Barat TDM pada 13 Julai lalu, namun hasil semakan mendapati masih terdapat keperluan memanggil semula beberapa saksi dan kemungkinan mendapatkan keterangan saksi baharu bagi mengukuhkan dapatan siasatan," katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai punca insiden letupan bom tangan semasa latihan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baru-baru ini serta langkah segera yang diambil bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan latihan diperkasakan agar kejadian sama tidak berulang.

Mohamed Khaled menjelaskan, insiden itu berlaku pada 16 Jun lalu ketika Latihan Peningkatan Tempur (LPT) di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun, Kedah.

Menurutnya, kira-kira jam 10.57 pagi, letupan grenad berlaku di dalam kubu semasa latihan sebenar membabitkan Allahyarhamah Lans Koperal Siti Khadijah sehingga mengakibatkan beliau dan pengasuh bertugas, Allahyarham Sarjan Norazmi Abu Bakar mengalami kecederaan parah.

Bagaimanapun, kata beliau, mereka disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

Artikel Berkaitan:

“TDM telah menubuhkan Lembaga Siasatan sehari selepas kejadian iaitu pada 17 Jun lalu bagi menyiasat punca insiden.

“Sebagai langkah segera susulan insiden ini, TDM telah melaksanakan pemeriksaan khas terhadap semua baki grenad dalam pegangan Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (1 SKN RAJD) terlibat bagi memastikan tiada kerosakan, selain mengarahkan semua latihan membaling grenad dihentikan sementara sehingga siasatan selesai,” ujarnya.

Bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang, Mohamed Khaled menegaskan, TDM akan memastikan pengukuhan aspek keselamatan latihan melalui beberapa langkah penambahbaikan berdasarkan syor daripada Lembaga Siasatan.

"Antara penambahbaikan yang akan dilaksanakan ialah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan lapang sasar, penggunaan kamera badan bagi tujuan pemantauan dan penilaian selepas latihan serta menambah baik ruang penglihatan dan cermin pemerhati di menara kawalan.

"Kita turut mencadangkan penggunaan 'Eco-Friendly Training Hand Grenade' (EFTHG) bagi latihan kering yang menyerupai grenad sebenar untuk memberi pendedahan awal dan pengalaman kepada anggota sebelum menggunakan grenad hidup," tambah beliau.

Selain itu, beliau berkata, TDM akan mewujudkan dasar penetapan jangka hayat penggunaan peluru dan bahan letupan supaya setiap aset yang mencapai tempoh tertentu menjalani pemeriksaan khas secara berkala bagi memastikan ia selamat digunakan.

Katanya lagi, penilaian kesihatan fizikal serta kesediaan mental semua pegawai dan anggota juga akan diperkasakan sebelum mereka menyertai latihan, khususnya bagi anggota yang mempunyai rekod kesihatan dan memerlukan pemantauan.

ENDS

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!