Polis Kedah lupus 1,408 mesin bitcoin bernilai RM1.6 juta

ALOR SETAR – Sebanyak 1,408 unit mesin Bitcoin bernilai RM1.6 juta dilupuskan Polis Kedah pada Rabu selepas kesemua barang rampasan itu selesai melalui proses perundangan dan mendapat perintah mahkamah.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pelupusan itu melibatkan 34 kertas siasatan berkaitan kegiatan perlombongan mata wang kripto secara haram yang disiasat sepanjang tempoh 2021 hingga 2026.
Menurutnya, majlis pelupusan tersebut dilaksanakan bagi mematuhi perintah mahkamah selain memastikan pengurusan barang kes dilaksanakan secara telus, berintegriti dan mengikut prosedur yang ditetapkan.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 683 unit hasil rampasan IPD Kuala Muda, diikuti IPD Kota Setar (324 unit), IPD Kulim (279 unit), IPD Pendang (77 unit) dan IPD Yan (45 unit).

"Kesemua mesin perlombongan bitcoin yang dilupuskan dianggarkan bernilai RM1.6 juta berdasarkan nilai pasaran semasa ketika dirampas," katanya pada Rabu.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di di ruang parkir Bahagian Pencegahan Jenayah, Komuniti dan Keselamatan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kegiatan perlombongan mata wang kripto itu dijalankan dengan membuat penyambungan bekalan elektrik secara tidak sah bagi mengelakkan pembayaran bil elektrik.
Menurutnya, perbuatan itu bukan sahaja menyebabkan kerugian besar kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), malah meningkatkan risiko kebakaran, letupan, litar pintas serta gangguan bekalan elektrik kepada pengguna lain.
"Di peringkat nasional, kerajaan menganggarkan Malaysia menanggung kerugian hampir RM700 juta setahun akibat kecurian bekalan elektrik yang dikaitkan dengan aktiviti perlombongan bitcoin secara haram," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Polis Kedah akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik dengan TNB, Suruhanjaya Tenaga dan agensi berkaitan bagi membanteras kegiatan tersebut.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990, Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman berat termasuk denda sehingga RM1 juta dan penjara jika disabitkan kesalahan.
Beliau menegaskan, Polis Kedah memandang serius kegiatan perlombongan bitcoin secara haram kerana bukan sahaja merugikan negara dan syarikat utiliti, malah mengancam keselamatan awam akibat risiko kerosakan pepasangan elektrik dan kebakaran.
"Polis Kedah akan terus memperhebatkan risikan, operasi khas serta tindakan penguatkuasaan bagi mengesan dan membanteras kegiatan perlombongan bitcoin secara haram di seluruh negeri.
"Tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

