Bitcoin haram sedut elektrik ratusan juta ringgit

ISU kecurian bekalan elektrik bagi aktiviti perlombongan mata wang kripto seperti bitcoin semakin menunjukkan trend membimbangkan dan tidak boleh dipandang ringan.
Pendedahan negara mengalami kerugian purata lebih RM700 juta setahun membuktikan kegiatan ini berkembang menjadi satu masalah berskala besar yang memberi kesan langsung kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Secara realitinya, perlombongan bitcoin memerlukan penggunaan tenaga elektrik tinggi kerana mesin beroperasi sepanjang masa tanpa henti.
Keperluan tenaga besar ini menyebabkan kos operasi meningkat, sekali gus mendorong segelintir pihak mengambil jalan mudah dengan melakukan penyambungan elektrik secara haram.
Tindakan ini bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab yang mengutamakan keuntungan semata-mata.
Kesan utama dapat dilihat adalah kerugian besar kepada syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Apabila kecurian elektrik berlaku secara berleluasa, beban kewangan akan ditanggung oleh syarikat dan dalam jangka panjang boleh memberi kesan kepada pengguna melalui pelarasan tarif atau kos penyelenggaraan yang meningkat.
Ini bermakna, masyarakat umum terpaksa menanggung akibat daripada kegiatan haram yang dilakukan oleh segelintir pihak.
Selain aspek ekonomi, isu ini turut menimbulkan ancaman serius terhadap keselamatan awam.
Kebanyakan premis yang digunakan untuk perlombongan haram tidak mematuhi piawaian keselamatan elektrik.
Pendawaian yang diubah suai secara tidak sah berisiko tinggi menyebabkan litar pintas, sekali gus boleh mencetuskan kebakaran atau letupan.
Lebih membimbangkan, aktiviti ini sering dijalankan di kawasan kediaman yang padat penduduk, sekali gus meningkatkan risiko kepada jiran dan komuniti setempat.
Dalam masa yang sama, penggunaan elektrik secara berlebihan dan tidak terkawal boleh menjejaskan kestabilan sistem bekalan elektrik negara.
Gangguan bekalan boleh berlaku dan memberi kesan kepada sektor lain termasuk perniagaan serta industri yang bergantung kepada bekalan elektrik yang konsisten.
Situasi ini boleh menjejaskan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan.
Tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Tenaga dan TNB dilihat sebagai langkah proaktif dalam menangani isu ini.
Operasi bersepadu yang melibatkan serbuan, pemotongan bekalan elektrik dan rampasan peralatan perlombongan menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam membanteras kegiatan haram ini.
Namun begitu, cabaran utama adalah kegiatan ini yang bersifat fleksibel dan mudah berpindah lokasi, terutamanya dengan penggunaan premis sewaan bagi mengaburi pihak berkuasa.
Sehubungan itu, kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi menangani masalah ini secara menyeluruh.
Pemilik rumah perlu lebih berhati-hati dalam memilih penyewa serta memastikan akaun elektrik didaftarkan atas nama penyewa bagi mengelakkan sebarang liabiliti.
Pada masa yang sama, masyarakat setempat perlu lebih peka terhadap sebarang aktiviti mencurigakan seperti penggunaan elektrik luar biasa atau bunyi mesin berterusan.
Kesimpulannya, isu perlombongan bitcoin haram bukan sekadar melibatkan pelanggaran undang-undang, tetapi turut memberi kesan besar kepada ekonomi, keselamatan dan kestabilan negara.
*Zulhilmi Hat ialah Sub Editor Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
