Pulau Pinang tunggu tuntutan rasmi pajakan sebelum beri maklum balas

Chow Kon Yeow (kiri) Muhammad Sanusi
Chow Kon Yeow (kiri) Muhammad Sanusi
A
A
A

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang tidak akan membuat sebarang ulasan berhubung tuntutan semakan kadar bayaran pajakan Pulau Pinang yang mahu dikemukakan oleh Kerajaan Kedah.

Pulau Pinang sebaliknya kekal dengan pendirian untuk menunggu butiran rasmi tuntutan itu sebelum memberi sebarang maklum balas.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri setakat ini masih belum mengetahui bentuk sebenar tuntutan yang ingin dikemukakan, justeru adalah terlalu awal untuk mengulas perkara berkenaan.

“Kita tunggu sahajalah. Itu sahaja jawapan kita buat masa ini.

“Kita perlu bersedia dari segi perundangan, dokumen dan perkara-perkara berkaitan termasuk yang menyentuh soal perpaduan. Namun pada peringkat ini, kita sendiri tidak tahu apa sebenarnya tuntutan yang hendak dikemukakan,” katanya di Pejabat Ketua Menteri, Komtar pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa kerajaan negeri itu telah melengkapkan semua dokumen sejarah, kajian dan asas perundangan berkaitan tuntutan semakan kadar bayaran pajakan Pulau Pinang dan hanya menunggu masa sesuai untuk bergerak ke fasa seterusnya.

Muhammad Sanusi berkata, segala persediaan berkaitan tuntutan itu telah disempurnakan oleh pasukan penyelidik dan perundangan negeri selepas melalui proses kajian yang menyeluruh.

Mengulas dakwaan bahawa tuntutan itu boleh menjejaskan hubungan antara negeri serta bercanggah dengan semangat perpaduan negara, Kon Yeow berkata, adalah tidak wajar untuk membuat sebarang andaian ketika ini.

“Saya rasa terlalu awal untuk memberi komen. Kita tunggu dahulu apa yang ingin dituntut.

Artikel Berkaitan:

“Kita akan memberikan maklum balas selepas tuntutan itu dihantar ke mahkamah atau dikemukakan secara rasmi kepada kerajaan negeri, jika perlu,” katanya.

Pada 5 Julai lalu, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah supaya kerajaan Persekutuan mengkaji semula kadar bayaran pajakan Pulau Pinang mengikut kadar semasa berdasarkan semangat dan maksud asal perjanjian.

Baginda bertitah, bayaran pajakan yang diterima kerajaan Kedah ketika ini jauh lebih rendah berbanding nilai yang sewajarnya dan hak serta kedaulatan Kedah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati oleh semua pihak.

Titah tersebut dizahirkan ketika Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah Ke-84 di Istana Anak Bukit di sini.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!