Bayaran pajakan Pulau Pinang isu bawah bidang kuasa Persekutuan

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan berhubung cadangan supaya kerajaan Persekutuan mengkaji semula kadar bayaran pajakan Pulau Pinang kepada Kedah seperti yang dititahkan Sultan Kedah baru-baru ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perkara itu berada di bawah bidang kuasa Persekutuan dan bukan kerajaan negeri.
Menurutnya,kerajaan negeri juga tidak pernah dirujuk berhubung perkara berkenaan memandangkan bayaran pajakan itu dibuat oleh kerajaan Persekutuan dan tidak melibatkan kerajaan negeri.
“Tak pernah ada perbincangan. Sebab ini dibayar ataupun disumbang oleh kerajaan Persekutuan, tidak melibatkan negeri,” katanya ketika diminta mengulas pendirian kerajaan negeri terhadap titah Sultan Kedah yang menggesa kadar bayaran pajakan Pulau Pinang dikaji semula.
Kon Yeow ditemui ketika membuat lawatan ke Northern Heart Hospital Penang di sini pada Khamis.
Menurut beliau, sebarang kenyataan atau keputusan berhubung isu tersebut perlu dijawab oleh kerajaan Persekutuan kerana ia merupakan bidang kuasa kerajaan pusat.
“Jawapan mengenai isu ini (boleh) dijawab oleh kerajaan Persekutuan. Ini di bawah bidang kuasa Persekutuan,” katanya lagi.
Mengulas sama ada kerajaan negeri pernah menerima sebarang surat daripada peguam atau mana-mana pihak dari Kedah berhubung tuntutan berkaitan pajakan itu, Kon Yeow berkata perkara tersebut tidak pernah berlaku.
“Tak pernah,” katanya.
Terdahulu, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah kerajaan Persekutuan perlu mengkaji semula kadar bayaran pajakan Pulau Pinang yang diterima Kedah kerana kadar sedia ada tidak lagi mencerminkan nilai sewajarnya.
Baginda bertitah, bayaran pajakan yang diterima Kerajaan Kedah ketika ini adalah berdasarkan perjanjian yang dimeterai sejak sekian lama dan wajar disemak mengikut kadar semasa selaras dengan semangat serta maksud asal perjanjian berkenaan.
Sultan Sallehuddin turut memperingatkan bahawa hak dan kedaulatan Kedah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, hendaklah dihormati oleh semua pihak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

