Permohonan penghakiman terus kes cukai Ku Nan didengar 12 Jun

Tengku Adnan
Tengku Adnan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 12 Jun ini untuk mendengar permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mendapatkan penghakiman terus terhadap bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang disaman kerana gagal membayar tuntutan cukai berjumlah RM57.17 juta.

Penghakiman terus ialah di mana mahkamah memutuskan sesuatu kes melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi.

Berdasarkan maklumat tertera dalam laman web mahkamah, pendengaran kes sepatutnya hari ini di hadapan Hakim Datuk Azimah Omar, tetapi ditangguh kepada 12 Jun ekoran lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mahkamah turut menetapkan tarikh yang sama (12 Jun) untuk mendengar permohonan Tengku Adnan untuk menggantung prosiding kes saman LHDN itu terhadapnya.

Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya memfailkan permohonan bagi menggantung prosiding kes itu sementara rayuannya terhadap penilaian semula taksiran cukai kepada LHDN selesai.

Pada 4 November tahun lalu, Tengku Adnan yang juga bekas Bendahari UMNO menarik balik permohonan untuk membatalkan penghakiman terus yang dimohon LHDN.

Kerajaan Malaysia melalui LHDN memfailkan saman itu pada 24 Julai tahun lalu selepas mendakwa Tengku Adnan selaku defendan masih terhutang bagi cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2012 sehingga tahun taksiran 2017 seperti yang dinyatakan melalui Notis Taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

LHDN dalam tuntutannya mendakwa sehingga kini defendan masih gagal membayar amaun cukai pendapatan bersama kenaikan 10 peratus yang masih terhutang yang kesemuanya berjumlah RM57,167,069.35.

Artikel Berkaitan:

Jumlah itu ialah RM64,444.38 (2012); RM6,614,861.59 (2013); RM8,887,576.69 (2014); RM9,198,523.67 (2015); RM5,520,818.05 (2016); dan RM26,880,844.97 (2017).

Oleh itu, plaintif menuntut daripada defendan jumlah RM57,167,069.35, faedah atas jumlah RM57,167,069.35 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah. - Bernama