Nahas ragut nyawa dua remaja: Kanak-kanak lelaki selamat jalani pembedahan kepala

IPOH - Seorang kanak-kanak lelaki yang terbabit dalam kemalangan maut melibatkan dua remaja perempuan di Jalan Padang Tembak, Teluk Intan pada Ahad selamat menjalani pembedahan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini pada Isnin.
Mangsa yang berusia tujuh tahun itu menjalani pembedahan pada bahagian kepala dan kini sedang menjalani rawatan lanjut di hospital berkenaan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, ketika kejadian, mangsa berada di bahu jalan sebelum seorang suspek lelaki berusia 28 tahun yang memandu sebuah kenderaan dipercayai hilang kawalan dan terbabas serta melanggar premis milik bapa mangsa.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Biarlah yang melanggar dapat balasan setimpal' - Bapa
"Sewaktu kejadian, mangsa berada bersama bapa dan di bawah pengawasan ibu bapanya. Bagaimanapun, kejadian itu berlaku di hadapan premis milik bapa kanak-kanak berkenaan.
"Selepas kemalangan itu, mangsa tidak sedarkan diri dan dibawa menaiki ambulans ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Dalam kejadian pada 6.35 petang itu, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun dipercayai hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya, sebelum melanggar sebuah motosikal dan sebuah lagi kereta di lokasi kejadian.
Akibat kemalangan itu, dua remaja perempuan berusia 16 dan 17 tahun yang menaiki motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala kanak-kanak yang mengalami kecederaan itu dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Hasil saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas lelaki itu mendapati suspek positif dadah jenis benzodiazepine dan disyaki memandu di bawah pengaruh dadah ketika kejadian berlaku. -m Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
