140 individu termasuk kanak-kanak masih hilang

SHAH ALAM - Seramai 140 individu melibatkan kanak-kanak, remaja dan dewasa dilaporkan masih hilang di seluruh negara setakat 28 Mei lalu.
Semakan di Portal Rasmi Kanak-Kanak Hilang Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu mendapati 28 kanak-kanak berusia antara satu hingga 12 tahun, manakala 30 remaja berusia 13 hingga 17 tahun dan 82 lagi ialah daripada golongan dewasa.
Portal terbabit turut menyenaraikan butiran individu hilang iaitu nama penuh, usia, tarikh hilang dan lokasi terakhir beserta paparan gambar.
Orang ramai juga boleh membuat carian di ruangan khas berkenaan penama yang dilaporkan hilang itu.
Portal terbabit juga melampirkan alamat, emel dan telefon PDRM setiap kontinjen untuk dihubungi bagi orang awam menyalurkan maklumat.

Semakan di portal itu mendapati terdapat senarai kanak-kanak yang dilaporkan masih hilang di Mentakab, Pahang sejak 4 Jun 2010 iaitu C Nisha berusia dua tahun.
Selain itu, antara kes yang dilaporkan ialah kehilangan Qaseh Qumaira Damia Abdullah, 7 di Kota Tinggi, Johor pada 23 Januari 2017.
Kanak-kanak lain yang turut dipaparkan ialah Puteri Nurardiana Damia Qaisara Abdullah berusia lima tahun di Bintulu, Sarawak yang dilapor hilang pada 28 September 2019.
Laporan Sinar Harian pada Julai 2024 melaporkan sebanyak 3,067 kes individu hilang membabitkan usia lingkungan sehingga 18 tahun dilaporkan di seluruh negara bagi tahun 2020 hingga 2023.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan dilaporkan berkata, pihaknya bekerjasama dengan penglibatan pelbagai agensi, jabatan kerajaan dan bukan kerajaan.
Kata beliau, usaha mencari dan mengesan ini akan diteruskan sehingga kanak-kanak yang dilaporkan hilang ditemui semula.
PDRM akan terus berhubung dengan ahli keluarga bagi mendapatkan perkembangan dan memberi khidmat sokongan psikologi kepada keluarga mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
