Malaysia bukan syurga pelarian tidak sah

Pelarian yang benar-benar memerlukan perlindungan sewajarnya menghormati negara yang memberi mereka ruang untuk hidup dengan aman. Gambar hiasan
Pelarian yang benar-benar memerlukan perlindungan sewajarnya menghormati negara yang memberi mereka ruang untuk hidup dengan aman. Gambar hiasan
A
A
A

MALAYSIA sejak sekian lama dikenali sebagai sebuah negara yang berperikemanusiaan. Dalam pelbagai konflik kemanusiaan dunia, negara ini tidak pernah menutup pintu kepada mereka yang benar-benar memerlukan perlindungan.

Atas dasar ihsan dan kemanusiaan, kita menerima kehadiran ribuan pelarian yang melarikan diri daripada peperangan, penindasan dan bencana di negara asal.

Namun, sifat belas ihsan tidak boleh disalah tafsir sebagai kelemahan. Malaysia bukan negara yang menghalalkan sesiapa sahaja untuk melanggar undang-undang atas nama status pelarian. Ini bukan soal kebencian terhadap pelarian. Ini soal kedaulatan undang-undang.

Masyarakat hari ini semakin resah apabila ada segelintir pelarian yang dilihat bertindak seolah-olah mereka mempunyai hak yang sama seperti warganegara. Ada yang menjalankan perniagaan tanpa kebenaran, ada yang menguasai kawasan tertentu, malah tidak kurang juga yang terlibat dalam pergaduhan, jenayah dan pelbagai kegiatan mengancam keselamatan awam.

Hakikatnya, tiada mana-mana negara berdaulat yang akan membiarkan undang-undangnya dipijak begitu sahaja. Amerika Syarikat misalnya menguatkuasakan kawalan sempadan secara agresif. Negara-negara Eropah turut mengetatkan dasar migrasi selepas berdepan pelbagai isu keselamatan.

Mengapa apabila Malaysia bertindak mempertahankan undang-undangnya, ada pula suara yang menganggap negara ini tidak berperikemanusiaan?

Pelarian yang benar-benar memerlukan perlindungan sewajarnya menghormati negara yang memberi mereka ruang untuk hidup dengan aman. Mereka juga mempunyai tanggungjawab mematuhi undang-undang tempatan dan menjaga keharmonian masyarakat.

Tindakan terhadap segelintir pelarian yang bermasalah tidak harus dilihat sebagai hukuman terhadap keseluruhan komuniti pelarian. Ramai dalam kalangan mereka hidup secara aman, mematuhi peraturan dan berusaha meneruskan kehidupan tanpa menimbulkan masalah.

Namun, membiarkan kelompok kecil yang melanggar undang-undang terus bebas hanya akan mencemarkan imej keseluruhan komuniti pelarian itu sendiri. Rakyat Malaysia juga berhak menikmati kehidupan yang aman dan selamat di negara sendiri.

Artikel Berkaitan:

Hak itu tidak boleh dikompromi atas apa jua alasan!

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!