Wanita garu kaki 'berkerak' guna garfu dalam kapal persiaran dikecam

WASHINGTON - Seorang wanita yang menaiki sebuah kapal persiaran di Amerika Syarikat (AS) teruk dikecam orang ramai selepas tular video dirinya menggaru tapak kaki menggunakan garfu.
Kejadian menjijikkan tersebut dipercayai dirakam di dalam restoran kapal persiaran Carnival Cruise Line baru-baru ini.
Rakaman video berkenaan dimuat naik di Instagram oleh akaun @lucky_charmedcourt, menunjukkan wanita terbabit sedang menggaru tapak kakinya yang 'berkerak' sebelum makan sepotong piza menggunakan tangan sama.
Situasi bertambah buruk apabila dia menggunakan garfu milik restoran tersebut untuk menggaru kakinya yang dilihat mengalami iritasi atau masalah kulit.
Rakaman berdurasi satu minit itu mencatatkan lebih 17 juta tontonan dan menerima pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya.
Susulan itu, pengurusan Carnival Cruise Line memaklumkan bahawa pihaknya telah membuang garfu tersebut supaya tidak digunakan oleh pelancong lain.
"Kami boleh sahkan yang garfu digunakan untuk makan, bukan untuk kaki. Pihak kami mengambil maklum situasi ini dan segera membuang garfu tersebut daripada servis.
"Sementara video tular ini mengundang gelak tawa penonton, namun ia bukan perkara kelakar bagi kami.
"Pengurusan restoran sangat bekerja keras untuk mengekalkan perkhidmatan pada piawaian tertinggi setiap hari, di samping memastikan tetamu terus menikmati percutian yang selamat bersih dan selesa," katanya dalam kenyataan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
