Tular video polis tahan empat lelaki Afghanistan rakaman lama

Kesemua suspek berjaya ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Pekan Baru untuk tindakan lanjut.
Kesemua suspek berjaya ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Pekan Baru untuk tindakan lanjut.
A
A
A

IPOH - Polis mengesahkan video memaparkan tindakan anggotanya menahan empat lelaki warga Afghanistan yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu adalah rakaman lama.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, kejadian sebenar berlaku pada 28 Mei lalu kira-kira jam 5.10 pagi apabila dua anggota polis diarahkan ke sebuah kedai serbaneka di Ipoh Soho bagi meleraikan pergaduhan.

Menurutnya, siasatan mendapati pergaduhan tersebut melibatkan empat lelaki warga Afghanistan berusia lingkungan 25 hingga 28 tahun yang bekerja sebagai tukang cuci.

“Semasa menjalankan tugas, dua daripada lelaki terbabit telah bertindak agresif dengan menyerang anggota polis sehingga berlaku pergelutan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kesemua suspek berjaya ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Pekan Baru untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, ketika berada di balai polis, dua daripada suspek sekali lagi bertindak agresif di hadapan anggota polis yang bertugas.

“Hasil siasatan mendapati keempat-empat lelaki tersebut berada dalam keadaan mabuk dan terlibat dalam pergaduhan sesama sendiri sebelum ketibaan pihak polis,” katanya.

Tambah beliau, kes telah dijalankan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh di tempat awam, Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 90 Akta Polis 1967.

“Kesemua suspek juga telah dituduh di mahkamah pada 12 Jun lepas,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat sehingga boleh mengelirukan masyarakat.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang menghalang atau menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam yang sedang menjalankan tugas,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!