Kembalinya Formula 1 ke Sepang: Pemangkin baharu industri sukan permotoran dan pembangunan modal insan negara

PENGUMUMAN kembalinya Formula 1 (F1) ke Litar Antarabangsa Sepang selepas sembilan tahun merupakan satu berita yang amat dinanti-nantikan oleh peminat sukan permotoran di Malaysia.
Lebih daripada sekadar kembalinya sebuah perlumbaan bertaraf dunia, ia membawa makna yang jauh lebih besar kepada pembangunan industri sukan, ekonomi negara serta pembinaan modal insan yang berkemahiran tinggi.
Formula 1 bukan sekadar sukan berprestij, malah merupakan simbol kemajuan teknologi, inovasi, ketepatan kejuruteraan dan pengurusan bertaraf dunia.
Penganjurannya di Malaysia akan mengukuhkan semula kedudukan negara sebagai destinasi utama sukan permotoran di rantau Asia, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap kemampuan Malaysia menganjurkan acara sukan bertaraf global.
Dari perspektif ekonomi, penganjuran Formula 1 dijangka memberi kesan limpahan yang besar kepada sektor pelancongan, perhotelan, pengangkutan, peruncitan serta perusahaan kecil dan sederhana.
Kehadiran ribuan pelancong dan peminat dari dalam serta luar negara akan merancakkan aktiviti ekonomi tempatan, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan pelbagai sektor berkaitan.
Namun, impak paling bernilai ialah kepada generasi muda. Ramai anak muda hari ini tidak pernah berpeluang menyaksikan perlumbaan Formula 1 secara langsung di negara sendiri sejak perlumbaan terakhir diadakan pada tahun 2017.
Kehadiran semula Formula 1 memberi peluang kepada mereka untuk melihat dengan lebih dekat bagaimana teknologi, disiplin, kerja berpasukan dan inovasi diaplikasikan dalam sebuah sukan berprestasi tinggi.
Pengalaman berada di litar, menyaksikan operasi pasukan Formula 1 dan memahami teknologi yang digunakan mampu menjadi sumber inspirasi kepada generasi baharu untuk menceburi bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
*Prof Madya Dr. Mohd Norazwan A. Bakar ialah Pensyarah kanan Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial Universiti Selangor Kampus Bestari Jaya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
