9 tahun menanti, F1 kembali di Sepang

Kali terakhir perlumbaan F1 diadakan di Litar Antarabangsa Sepang ialah pada 2017.
Kali terakhir perlumbaan F1 diadakan di Litar Antarabangsa Sepang ialah pada 2017.
A
A
A

MALAYSIA sekali lagi menjadi perhatian peminat sukan permotoran dunia apabila secara rasmi diumumkan sebagai tuan rumah perlumbaan Formula Satu (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 4 Oktober 2026.

Pengumuman yang dibuat menerusi laman rasmi Formula 1 menamatkan penantian hampir sembilan tahun sejak perlumbaan kali terakhir dianjurkan di Sepang pada tahun 2017.

'Kepulangan' Formula 1 ke Malaysia merupakan satu perkembangan yang amat bermakna kepada peminat sukan permotoran tempatan.

Sepanjang tempoh ketiadaan perlumbaan ini, ramai peminat hanya dapat mengikuti aksi Formula 1 melalui siaran televisyen atau menghadiri perlumbaan di negara jiran seperti Singapura.

ARTIKEL BERKAITAN: Perkembangan penganjuran F1 di Malaysia diumum Ahad ini

KBS teliti kemungkinan SIC anjur semula F1

Justeru, berita ini disambut dengan penuh keterujaan kerana mereka sekali lagi berpeluang menyaksikan perlumbaan bertaraf dunia secara langsung di tanah air.

Walaupun perlumbaan tersebut dikenali sebagai Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix, Malaysia memainkan peranan penting sebagai negara hos.

Situasi ini menunjukkan keyakinan pihak Formula 1 terhadap kemampuan Malaysia, khususnya Litar Antarabangsa Sepang dalam menganjurkan acara bertaraf antarabangsa dengan piawaian yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

Penulis percaya rakyat Malaysia sangat teruja dan menjangkakan tiket habis dijual dalam tempoh singkat

Mereka sudah pasti tidak akan melepaskan peluang menyaksikan Formula 1 di Sepang kerana ia tidak akan berulang dalam masa terdekat.

Dari sudut ekonomi, penganjuran Formula 1 dijangka memberikan limpahan manfaat kepada pelbagai sektor, industri pelancongan merupakan antara penerima manfaat utama apabila ribuan pelawat dari dalam dan luar negara dijangka hadir sepanjang hujung minggu perlumbaan.

Kehadiran mereka akan meningkatkan kadar penginapan hotel dan penggunaan pelbagai perkhidmatan pelancongan.

Selain hotel, peniaga makanan dan minuman juga dijangka menerima durian runtuh, restoran, gerai makanan, kafe dan perniagaan kecil di sekitar Sepang dan kawasan berhampiran berpotensi menikmati peningkatan pelanggan yang ketara.

Kesan ekonomi ini bukan sahaja dirasai oleh syarikat besar, malah turut memberi manfaat kepada usahawan tempatan.

Di samping itu, penganjuran Formula 1 mampu meningkatkan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan sukan bertaraf dunia.

Liputan media antarabangsa yang meluas akan memperkenalkan negara kepada jutaan penonton global, sekali gus mempromosikan keindahan Malaysia, kemudahan infrastruktur dan keupayaan negara menganjurkan acara berskala besar.

Oleh itu, pihak penganjur perlu memastikan segala aspek persediaan dilakukan secara rapi.

Pengurusan trafik, keselamatan penonton, penyediaan kemudahan awam dan sistem pengangkutan perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan kesesakan serta memastikan pengalaman yang selesa kepada semua pengunjung.

Walaupun perlumbaan ini diadakan bagi pihak Grand Prix Bahrain, kejayaannya boleh menjadi penanda aras penting untuk masa depan Formula 1 di Malaysia.

Sekiranya sambutan penonton, pengurusan acara dan impak ekonomi mencapai sasaran yang diharapkan, tidak mustahil Malaysia akan terus dipertimbangkan sebagai lokasi penganjuran perlumbaan Formula 1 pada masa akan datang.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!