Malaysia dipilih jadi tuan rumah F1 dalam tempoh dua bulan, Anwar sifatkan bukti negara aman

TAMPIN – Malaysia disahkan bakal menjadi tuan rumah perlumbaan Formula Satu (F1) dalam tempoh kira-kira dua bulan lagi selepas berjaya dipilih menggantikan Bahrain susulan konflik yang melanda rantau Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemilihan itu membuktikan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap tahap keamanan, kecekapan pentadbiran serta kualiti infrastruktur negara.
Menurut beliau, penganjuran perlumbaan berprestij itu pada asalnya dijadual berlangsung di Bahrain, namun terpaksa dipindahkan berikutan kesan peperangan membabitkan Iran serta serangan Amerika Syarikat dan Israel yang menjejaskan kestabilan rantau berkenaan.
"Saudara bayangkan, daripada puluhan negara yang diteliti, Malaysia dipilih kerana negara ini aman, pengurusannya baik dan cekap serta mempunyai infrastruktur yang memadai.
"Kalau negara ini tidak aman, tidak mungkin mereka memilih Malaysia untuk menganjurkan perlumbaan F1," katanya ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Kem Syed Sirajudin, Gemas pada Isnin.
Anwar berkata, pada peringkat awal pendekatan berhati-hati kerana tidak mahu penganjuran F1 membebankan kewangan kerajaan ketika masih banyak keperluan rakyat yang perlu diberi keutamaan.
"Saya kata, kita perlu lihat dahulu dana yang diperlukan kerana rakyat berdepan isu kos sara hidup. Namun Tuanku mencadangkan supaya kerajaan berbincang dengan Bahrain bagi mengurangkan kos yang terlibat," katanya.
Beliau berkata, hasil rundingan itu, Bahrain bersetuju melepaskan bayaran pendaftaran awal kepada syarikat F1, sekali gus membolehkan Malaysia menganjurkan perlumbaan tersebut tanpa perlu menanggung kos pendaftaran.
"Semalam mereka memaklumkan bayaran awal kepada syarikat F1 itu dihapuskan. Jadi kita boleh menganjurkannya tanpa membayar kos pendaftaran.
“Kira-kira RM16 juta diperlukan setiap tahun bagi kos penyelenggaraan Litar Antarabangsa Sepang untuk memenuhi standard yang ditetapkan untuk penganjuran sukan permotoran," katanya.
Tambah beliau, jumlah itu jauh lebih rendah berbanding kos menganjurkan F1 sebelum ini yang mencecah ratusan juta ringgit hingga lebih RM1 bilion.
Katanya, penganjuran itu dijangka menarik kehadiran pelumba terkenal dunia, ribuan jurutera serta pasukan teknikal antarabangsa ke Malaysia.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa kejayaan itu bukan hanya hasil usaha kerajaan, sebaliknya didorong oleh kerjasama semua pihak termasuk angkatan pertahanan negara.
"Saya beri penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia. Semangat inilah yang menjadikan negara kita dihormati dan diyakini di peringkat antarabangsa," katanya.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan keamanan negara kekal menjadi asas utama kepada keyakinan pelabur dan penganjur acara bertaraf dunia.
Beliau berkata, keamanan itu diperkukuhkan oleh peranan pasukan keselamatan di samping kestabilan sistem pentadbiran negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
