Kerajaan kaji perkenal tiket Madani, beri peluang rakyat saksikan F1 - PM

Anwar. Foto Bernama
Anwar. Foto Bernama
A
A
A

PORT DICKSON - Kerajaan akan mengkaji penjualan tiket Madani Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air pada harga lebih rendah bagi memberi peluang kepada orang ramai menyaksikan perlumbaan berprestij dunia itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia selari dengan konsep Malaysia Madani yang sentiasa menekankan kesejahteraan rakyat dan pemerkasaan inklusiviti dalam setiap penganjuran acara berskala antarabangsa.

ARTIKEL BERKAITAN: Diplomasi diraja kembalikan F1 ke Malaysia selepas sembilan tahun

Hubungan baik Agong dan Raja Bahrain, negara aman faktor Malaysia dipilih jadi tuan rumah F1 - Anwar

Malaysia dipilih jadi tuan rumah F1 dalam tempoh dua bulan, Anwar sifatkan bukti negara aman

"Ada orang tanya saya, "PMX ada tak tiket Madani?, bagilah tiket Madani”, Insya-ALLAH... tapi janganlah berharap dapat duduk depan, jauh sikit. Dah bayar tiket Madani, (tak bolehlah) nak duduk tempat yang mahal (depan),” kata beliau di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ramah Mesra bersama Pemimpin Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Sembilan yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Anwar berkata, penganjuran F1 bukan sahaja mengangkat imej Malaysia di peringkat antarabangsa malah turut memberi limpahan ekonomi kepada pelbagai sektor termasuk pelancongan, penerbangan, perhotelan dan perniagaan tempatan menerusi kehadiran ribuan pelawat serta pasukan perlumbaan dari seluruh dunia.

Perdana Menteri berkata, walaupun banyak negara lain berminat untuk menjadi tuan rumah, Malaysia dipilih kerana dikenali sebagai sebuah negara aman, mempunyai ekonomi stabil serta menjalin hubungan diplomatik yang baik dengan pelbagai negara.

Artikel Berkaitan:

"...yang penting manfaatnya kembali kepada negara, hotel penuh, syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines dan AirAsia mendapat tempahan, sektor pelancongan berkembang dan ekonomi tempatan terus rancak," kata beliau.

Pada Ahad dilaporkan Malaysia bersedia menyambut kepulangan perlumbaan F1 ke Litar Antarabangsa Sepang selepas sembilan tahun apabila bakal menjadi tuan rumah F1 GP Bahrain dari 2 hingga 4 Oktober depan.

Litar Antarabangsa Sepang menjadi tuan rumah GP Malaysia dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan dari kalendar F1 susulan peningkatan kos penganjuran dan fi pelesenan. - Bernama

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!