Pilihan raya bukan bola sepak, undi penentu kemenangan

Apa yang paling bernilai pada akhirnya ialah kepercayaan pengundi untuk memilih calon yang dekat di hati mereka. Gambar hiasan
Apa yang paling bernilai pada akhirnya ialah kepercayaan pengundi untuk memilih calon yang dekat di hati mereka. Gambar hiasan
A
A
A

PIALA Dunia 2026 melabuhkan tirainya apabila pasukan paling kuat di dunia dinobatkan sebagai juara iaitu Sepanyol yang mengalahkan penyandang, Argentina pada perlawanan akhir.

Dalam bola sepak, keputusan akhirnya ditentukan oleh strategi, disiplin, keserasian berpasukan dan kemampuan menyempurnakan peluang kepada jaringan bagi mengatasi pihak lawan.

Begitulah juga hakikat sebuah pilihan raya, setiap parti politik memasuki gelanggang ada kekuatan mereka tersendiri.

Ada memiliki jentera akar umbi yang tersusun, ada bergantung kepada karisma pemimpin dan ada pula menguasai medan digital dengan kempen kreatif.

Namun pilihan raya sedikit berbeza dengan bola sepak kerana pada akhirnya kemenangan tidak ditentukan oleh kekuatan pasukan dan sorakan penyokong semata-mata.

Jentera yang rajin turun padang bergerak dari rumah ke rumah, mendengar denyut nadi rakyat, menyelesaikan masalah setempat dan menyampaikan mesej secara konsisten lazimnya lebih berkesan daripada sekadar retorik di pentas ceramah.

Calon tidak mungkin menang bersendirian tanpa kekuatan jentera, petugas, sukarelawan dan penyokong di peringkat akar umbi yang menjadi nadi kepada sesebuah kempen.

Lebih penting lagi, undi rakyatlah yang menentukan pemenang. Sorakan di media sosial, ceramah yang meriah atau bilangan bendera yang memenuhi jalan raya tidak semestinya diterjemahkan kepada peti undi.

Apa yang paling bernilai pada akhirnya ialah kepercayaan pengundi untuk memilih calon yang dekat di hati mereka.

Artikel Berkaitan:

Pendekatan lama mungkin tidak lagi sesuai untuk generasi muda yang mendapatkan maklumat melalui platform digital, manakala sentuhan bersemuka masih kekal penting bagi membina kepercayaan dalam kalangan pengundi di akar umbi.

Akhirnya, kejayaan bukan hanya bergantung kepada siapa yang paling kuat di atas kertas, tetapi siapa yang paling bijak merancang strategi, paling konsisten berusaha dan paling berjaya memenangi hati mereka yang membuat keputusan.

Selamat berkempen buat semua jentera parti dan selamat memilih buat rakyat Negeri Sembilan!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!