Madrasah Ehya Ulumiddin dibangunkan, sasar lahir lebih ramai pencinta al-Quran

BALING – Madrasah Ehya Ulumiddin (Pondok Bongor) di Bingor di sini sedang giat dibangunkan bagi memperluaskan kemudahan pendidikan dan pengajian Islam untuk manfaat masyarakat setempat.
Pengetua Madrasah Ehya Ulumiddin, Helmi Yaacob berkata, pembinaan itu melibatkan bangunan sekolah, asrama, tempat tinggal pelajar, warga emas, suami isteri yang mengikuti pengajian di institusi berkenaan selain rumah guru.
Menurutnya, pengajian kuliah mingguan kini telah dijalankan setiap hari Sabtu dari jam 9 pagi hingga 11 pagi dan mendapat sambutan daripada masyarakat sekitar.
“Hasrat kami adalah menyediakan sebuah pusat pengajian yang lebih lengkap dan kondusif bagi melahirkan lebih ramai pencinta ilmu serta menjadi pusat aktiviti keagamaan kepada komuniti,” katanya.
Beliau berkata, pembelian tapak pembangunan madrasah itu bagaimanapun masih mempunyai baki pembayaran berjumlah RM550,000 yang perlu dijelaskan kepada pemilik tanah.
“Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat menyokong pembangunan Madrasah Ehya Ulumiddin dialu-alukan berbuat demikian menerusi sumbangan ke akaun bank rasmi,” katanya.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 552116224649 Madrasah Ehya Ulumiddin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

