Waris operator kilang penerima pertama faedah LINDUNG 24 Jam

SEBERANG PERAI – Waris seorang operator kilang di Pulau Pinang menjadi penerima pertama Faedah Orang Tanggungan (FOT) di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) yang diperkenalkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sejak berkuat kuasa pada 1 Jun lalu.
PERKESO dalam satu kenyataan memaklumkan, Muhammad Hafizi Muhammad Rizal, 22, meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Merbok, Kedah pada 12 Jun lalu ketika dalam perjalanan ke rumah rakannya selepas selesai bekerja di Sungai Petani.
Menurut PERKESO, hasil semakan mendapati mangsa merupakan pencarum aktif sekali gus melayakkan warisnya menerima faedah di bawah skim berkenaan.
“Semakan bersama majikan mengesahkan kemalangan itu tidak mempunyai kaitan dengan tugas hakiki sebaliknya berlaku ketika urusan peribadi.
“Jika mengikut peraturan sebelum 1 Jun 2026, mangsa tidak layak menerima faedah kerana kemalangan berlaku di luar waktu bekerja. Namun, pelaksanaan LINDUNG 24 Jam membolehkan warisnya menikmati perlindungan keselamatan sosial,” menurut kenyataan itu pada Isnin.
PERKESO berkata, keluarga mangsa akan menerima Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM3,000 secara sekali bayar serta FOT bulanan berjumlah RM378.
"Faedah bulanan itu akan disalurkan kepada kedua ibu bapa mangsa sepanjang hayat manakala empat adiknya akan menerima bayaran sehingga mencapai usia 21 tahun.
"PERKESO berharap bantuan itu dapat mengurangkan beban keluarga mangsa walaupun jumlahnya tidak besar," katanya.
Dalam perkembangan sama, dua lagi pencarum di Pulau Pinang turut menerima manfaat di bawah LINDUNG 24 Jam selepas mengalami kemalangan ketika berada di rumah.
"Kes pertama melibatkan Mohamad Zain Kia, 33, yang patah pergelangan tangan selepas terjatuh dari tangga ketika memotong dahan pokok rambutan di kediamannya di Bayan Baru.
"Dia menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan diberikan cuti sakit dari 13 Jun hingga 13 Julai lalu. PERKESO meluluskan Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sebanyak RM540 dengan bayaran awal RM288 telah disalurkan bagi tempoh cuti sakit dari 14 hingga 29 Jun.
"Selain itu, PERKESO turut meluluskan kemudahan implan bernilai RM1,000 bagi membantu proses pemulihannya," katanya.
Sementara itu, PERKESO berkata, seorang lagi pencarum, Tan Pai Fen, 49, yang mengalami kecederaan melecur pada bahagian perut hingga kaki selepas terkena air panas di rumahnya di George Town pada 3 Jun lalu turut menerima manfaat.
"Mangsa mengalami kecederaan melecur kira-kira 10 peratus pada anggota bawah badan dan menerima rawatan di Pantai Hospital sebelum diberikan cuti sakit dari 3 Jun hingga 8 Julai.
"PERKESO telah menyalurkan FHUS berjumlah RM540 bagi tempoh 36 hari pertama cuti sakit dan bayaran penggantian pendapatan itu akan diteruskan mengikut kelayakan sehingga tempoh cuti sakit tamat," katanya.
Menurut PERKESO, ketiga-tiga kes itu membuktikan kemalangan di luar waktu bekerja boleh berlaku pada bila-bila masa termasuk ketika menjalankan urusan peribadi, berekreasi, bersukan, bercuti atau melakukan rutin harian di rumah.
Katanya, pelaksanaan LINDUNG 24 Jam memastikan pencarum terus mendapat perlindungan keselamatan sosial yang lebih menyeluruh walaupun kemalangan berlaku di luar waktu bekerja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


