LINDUNG 24 Jam: Perlu carum atau sekadar pilihan?

PENGUMUMAN kerajaan mengenai skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membuka lembaran baharu dalam usaha memperluaskan perlindungan sosial kepada rakyat, khususnya golongan bekerja sendiri, menjalankan ekonomi gig dan tidak mempunyai perlindungan pekerjaan sektor tidak formal.
Secara prinsipnya, hasrat kerajaan itu sukar dipertikaikan kerana dalam keadaan kos sara hidup semakin meningkat, kemalangan, hilang upaya atau kematian pencari nafkah boleh mengubah kehidupan sesebuah keluarga dalam sekelip mata.
Namun masyarakat masih 'bingung' sama ada mereka benar-benar memerlukan caruman tersebut atau ia sekadar menambah satu lagi komitmen kewangan bulanan.
Seperti sedia maklum, LINDUNG 24 Jam menawarkan perlindungan yang lebih menyeluruh berbanding bergantung kepada simpanan sendiri.
Caruman yang dibuat membolehkan pencarum menerima manfaat tertentu sekiranya berlaku kejadian tidak diingini seperti kemalangan, hilang upaya atau kematian, sekali gus mengurangkan beban kewangan kepada keluarga yang ditinggalkan.
Bagi golongan bekerja sendiri seperti peniaga kecil, pemandu e-hailing, penghantar makanan, pencipta kandungan digital dan pekerja bebas, skim seperti ini boleh menjadi pelengkap kepada perlindungan yang mungkin tidak dimiliki.
Ramai dalam kumpulan itu tidak menikmati faedah seperti cuti sakit bergaji atau perlindungan majikan sebagaimana pekerja sektor formal.
Beberapa perkara perlu diberi perhatian antaranya kemampuan orang ramai untuk menambah satu lagi komitmen ketika ramai masih bergelut dengan kos sara hidup, bayaran pinjaman, sewa rumah dan keperluan harian.
Meskipun jumlah caruman tidak terlalu tinggi, namun bagi sesetengah isi rumah, setiap ringgit yang dibelanjakan tetap memberi kesan kepada aliran tunai bulanan.
Golongan ini mungkin mempersoalkan sama ada manfaat ditawarkan LINDUNG 24 Jam benar-benar memberi nilai tambah atau sekadar mengulangi perlindungan yang sedia ada.
Dalam masa sama, wujud kebimbangan mengenai kefahaman masyarakat terhadap skim tersebut dan sekiranya maklumat mengenai syarat kelayakan, jenis manfaat dan proses tuntutan tidak dijelaskan secara menyeluruh, ia boleh menimbulkan salah faham.
Hakikatnya, tiada jawapan yang sesuai untuk semua orang. Bagi individu yang tidak mempunyai sebarang perlindungan kewangan atau bergantung sepenuhnya kepada pendapatan harian, LINDUNG 24 Jam boleh dianggap sebagai satu pelaburan bagi mengurangkan risiko kewangan pada masa depan.
Namun bagi mereka yang mempunyai perlindungan insurans dan simpanan kecemasan, keputusan untuk mencarum wajar dibuat selepas menilai manfaat berbanding kos ditanggung.
Satu perkara yang wajar dipertimbangkan ialah kedudukan LINDUNG 24 Jam berbanding insurans atau takaful komersial. Ramai beranggapan kedua-duanya menawarkan perlindungan yang sama, sedangkan fungsi kedua-duanya berbeza.
Dari segi kos, ia sememangnya lebih murah kerana kadar caruman ditetapkan mengikut gaji dan bukan berdasarkan umur, tahap kesihatan atau sejarah penyakit, sebaliknya premium insurans atau takaful lazimnya meningkat mengikut faktor risiko serta manfaat dipilih.
Namun kelebihan insurans atau takaful komersial ialah perlindungan lebih fleksibel, yang mana pencarum boleh memilih jumlah pampasan, perlindungan penyakit kritikal, kemasukan ke hospital, rawatan perubatan, elaun harian, malah perlindungan di luar negara bergantung kepada polisi masing-masing.
Bagi individu yang belum mempunyai sebarang perlindungan, LINDUNG 24Jam boleh menjadi jaringan keselamatan asas manakala yang sudah memiliki polisi insurans atau takaful, keputusan untuk mencarum bergantung sama ada mereka melihat perlindungan tambahan itu memberi nilai kepada keadaan kewangan dan risiko dihadapi.
Anda masih mempunyai masa untuk berfikir sebelum tempoh pilihan pelepasan liabiliti tamat pada 31 Ogos depan.
*Diana Azis ialah wartawan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

