Skim LINDUNG 24 jam PERKESO bantu mangsa bot candat karam

Muhammad Farris (kiri) menerima faedah menerusi menerusi skim LINDUNG 24 Jam oleh PERKESO.
Muhammad Farris (kiri) menerima faedah menerusi menerusi skim LINDUNG 24 Jam oleh PERKESO.
A
A
A

​KUALA TERENGGANU — Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) terus membuktikan kepentingan mencarum menerusi skim LINDUNG 24 Jam apabila tampil menghulurkan bantuan faedah dan perlindungan kepada seorang pembantu tadbir yang cedera parah dalam insiden bot candat sotong karam di perairan Terengganu pada 3 Julai lalu.

​Menurut kenyataan dikeluarkan PERKESO, mangsa, Muhammad Farris Zakwan Mohd Ibrahim, 33, yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Kuala Lumpur mengalami kecederaan serius apabila bot yang dinaikinya bersama sembilan yang lain karam dipukul ombak besar.

Insiden tragis tersebut turut meragut nyawa seorang kru bot akibat keletihan terlampau ketika berusaha menyelamatkan para penumpang.

​Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa Muhammad Farris yang hampir lemas mengalami kecederaan serius pada pergelangan tangan kanan sehingga menyebabkan saluran darah utama, beberapa tendon, dan otot terputus.

Selain itu, beliau turut mengalami beberapa luka koyakan pada jari telunjuk kiri serta kecederaan di bahagian belakang bahu kiri sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi menerima rawatan kecemasan.

"​Rentetan kejadian berkenaan, Skuad PERKESO Prihatin segera menyemak status caruman Muhammad Farris dan mendapati beliau merupakan pencarum aktif di bawah Akta 4 atau LINDUNG Pekerja, sekali gus melayakkannya menerima perlindungan di bawah LINDUNG 24 Jam.

"​Melalui rekod caruman aktif itu, beliau layak menerima Faedah Perubatan serta Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sebagai gantian pendapatan sepanjang tempoh cuti sakitnya dari 4 Julai hingga 21 Julai 2026 dengan jumlah bayaran keseluruhan sebanyak RM1,368.00," jelas kenyataan tersebut.

​Dalam pada itu, PERKESO turut memaklumkan bahawa Muhammad Farris layak menerima rawatan fisioterapi berterusan bagi membantu memulihkan fungsi tangannya yang cedera, dengan keseluruhan kos fisioterapi tersebut ditanggung sepenuhnya oleh pihak PERKESO.

"​Kisah Muhammad Farris membuktikan bahawa tiada siapa mampu menjangka ujian yang bakal berlaku apabila cuti rehat yang sepatutnya membawa ketenangan akhirnya bertukar menjadi tragedi.

Artikel Berkaitan:

"Namun, perlindungan di bawah LINDUNG 24 Jam memastikan beliau tidak berdepan musibah tersebut secara bersendirian, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan PERKESO untuk melindungi pekerja yang layak ketika berhadapan saat-saat sukar,"menurut kenyataan itu.

​Sementara itu, Muhammad Farris meluahkan rasa syukur dan lega apabila mendapat tahu beliau layak menerima faedah berkenaan sewaktu menerima lawatan daripada pihak PERKESO.

Beliau menzahirkan rasa terima kasih atas perlindungan dan bayaran ganti pendapatan yang diterima sepanjang tidak dapat bekerja, sekali gus membolehkannya fokus kepada proses pemulihan tanpa perlu gusar mengenai isu kewangan.

​Untuk rekod, LINDUNG merupakan penjenamaan semula skim perlindungan keselamatan sosial PERKESO yang dilancarkan pada 22 Ogos 2025.

Di bawah struktur baharu ini, Akta 4 dikenali sebagai LINDUNG Pekerja, Akta 800 sebagai LINDUNG Kerjaya, Akta 789 (SKSPS) sebagai LINDUNG Kendiri, dan Akta 838 (SKSSR) sebagai LINDUNG Kasih.

Manakala skim LINDUNG 24 Jam yang dikuatkuasakan bermula 1 Jun 2026 memberi perlindungan khas jika berlaku kemalangan di luar waktu kerja di dalam negara buat seluruh pencarum LINDUNG Pekerja.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!