Golongan tua dan Covid-19

A
A
A

SAYA terbaca status rakan Facebook saya, Aisya Ridha mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, ‘orang yang paling tidak tahan kena kurung sesungguhnya adalah generasi tua terutamanya yang masih sihat dan biasa keluar masuk rumah sebelum PKP.’

Katanya lagi, warga tua gatal kaki nak keluar sebab tak biasa dengan rutin online, delivery dan akhbar digital.

Benar seperti dikata. Generasi tua yang berusia 80-an ke atas sukar memahami perubahan besar yang kita alami. Mereka tidak faham mengapa perlu ada PKP.

Bagaimana angkara virus (yang mereka faham hanya kuman yang akibatkan penyakit) boleh membuatkan pergerakan mereka terhalang.

Walaupun sebahagian mereka pernah mengalami perintah berkurung pada zaman Jepun dan darurat atau ketika peristiwa 13 Mei 1969, mereka tidak mengerti bagaimana nyawa boleh selamat dengan duduk di rumah.

Kasihan juga pada warga tua yang kebetulan datang ke kota melihat anak menantu. Mereka hairan mengapa tidak boleh pulang ke kampung.

Kalau mereka tinggal di rumah atas tanah, dapat juga mereka melangut melihat alam dari laman rumah. Bagaimana jika terkurung di kediaman bertingkat seperti kondominium?

Artikel Berkaitan:

Orang tua yang berusia 70-an ke bawah pula peka dan tahu apa yang berlaku. Mereka bukannya tidak faham apa itu koronavirus (Covid-19) tetapi mereka seperti juga anak-anak muda yang suka bersosial di luar rumah. Orang tua yang bersara biasanya bersosial di masjid mahupun surau.

Kalau ada ceramah atau bacaan surah Yasin di surau, mereka boleh makan dan berseloroh sesama mereka setelah majlis.

Mereka bersosial lagi jika ada jemputan kenduri di rumah kariah. Esok pagi boleh lepak minum kopi di warung atau restoran setelah solat Subuh.

Mereka tahu mengenai Covid-19 melalui radio, televisyen dan akhbar. Ramai juga yang mendapat maklumat terkini melalui aplikasi WhatsApp daripada kawan-kawan.

Sebahagian besar mereka membesar dan terdedah dengan dunia media massa dahulu yang berbentuk komunikasi satu hala seperti radio, televisyen dan akhbar.

Justeru, mereka cenderung mempercayai apa sahaja yang tiba melalui WhatsApp. Sebab itu ramai dalam kalangan mereka akan terima dan hantar apa sahaja yang mereka dapat tanpa terfikir untuk menilai kesahihan sesuatu yang diterima.

Orang tua sudah tidak boleh ke surau buat masa ini. Mereka tidak boleh melepak di warung atau restoran. Di rumah pula tidak boleh bermain dengan cucu.

ereka tidak boleh lagi ke sana ke mari. Justeru, apa yang diboleh buat selain bermesej? Mereka sedang bosan.

Kebosanan mereka perlulah dilayani agar mereka tidak stres dan menjadi murung. Emosi mereka juga rapuh. Kalau mereka merajuk, susah juga kita nak pujuk.

Cara terbaik dan praktikal ialah mengajar mereka untuk mahir komputer.

Terdapat jutaan laman dan ilmu yang sesuai untuk warga tua. Ajari mereka untuk membuat carian di Google.

Mereka boleh sahaja ke laman kesihatan untuk mengetahui cara menjaga kesihatan ataupun mendapatkan maklumat mengenai jenis pil yang mereka telan.

Ajari mereka melayari YouTube untuk belajar senaman Melayu tua, taichi ataupun senaman ringan secara duduk di kerusi.

Berikan mereka cara untuk mereka mendengar lagu-lagu nostalgia mereka pada zaman muda ataupun menonton ratusan ceramah daripada ustaz yang mereka minati.

Maklumat menunjukkan kalangan mereka yang mudah tewas angkara Covid-19 majoritinya terdiri daripada mereka dalam kalangan warga emas terutamanya mereka yang menghidap penyakit tiga serangkai.

Sayangilah mereka. Di tangan mereka terletaknya syurga. Jagailah mereka kerana mereka adalah khazanah bergerak, sekurang-kurangnya buat sesebuah keluarga.

Tanya mereka, mungkin ada ilmu pusaka yang belum diceritakan sebab tiada sesiapa dalam kalangan kita yang bertanya.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian