Keanggotaan polis mencukupi kuat kuasa PKPD di ibu negara

Mazlan Lazim
Mazlan Lazim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kekuatan anggota polis mencukupi untuk memantau di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di ibu negara.

Kawasan berkenaan ialah sekitar Masjid India membabitkan Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak, Jalan Melaka dan Jalan Ampang yang menjadi lokasi terbaru PKPD berkuatkuasa hari ini.

Bagaimanapun, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pelaksanaan PKPD di kawasan terbabit tidak meliputi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan Bangunan PT 80.

"Selain itu, PKPD di Menara City One, Selangor Mansion dan Malayan Mansion turut dilanjutkan.

"Setakat ini, keadaan terkawal dan polis mengatur keanggotaan secukupnya untuk menguatkuasakan PKPD di kawasan terlibat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, polis Kuala Lumpur berharap kerjasama semua pihak supaya mematuhi PKP dan PKPD yang bertujuan membendung jangkitan Covid-19 daripada terus menular.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga akan bermula pada 15 April 2020 sehingga 28 April ini.

Artikel Berkaitan: