Kereta sarat 200,000 batang rokok seludup terbabas dalam tali air

Kenderaan yang dipandu suspek terbabas ke dalam tali air di Kampung Kok Bedullah, Tumpat pada Ahad. Foto PGA
Kenderaan yang dipandu suspek terbabas ke dalam tali air di Kampung Kok Bedullah, Tumpat pada Ahad. Foto PGA
A
A
A

TUMPAT – Cubaan seorang penyeludup meloloskan diri dengan memecut kereta sejauh kira-kira 2 kilometer berakhir apabila kenderaan dipandunya terbabas ke dalam tali air di Kampung Kok Bedullah di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, suspek melarikan diri dan meninggalkan muatan 200,000 batang rokok putih dipercayai tidak bercukai bernilai keseluruhan RM400,000.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kejadian berlaku ketika anggota Strike Force Kompeni C Batalion 9 PGA Kuala Terengganu menjalankan rondaan motosikal dalam Op Taring Wawasan Kelantan di Kampung Geting.

Menurut beliau, anggota terserempak dengan sebuah Proton Preve berwarna perak dalam keadaan mencurigakan sebelum menghampiri kenderaan tersebut untuk pemeriksaan.

"Bagaimanapun, pemandu lelaki bertindak memecut kenderaannya bagi mengelak ditahan, menyebabkan anggota mengejarnya sejauh kira-kira 2 kilometer sehingga ke Kampung Kok Bedullah.

"Kereta itu kemudian terbabas ke dalam tali air sebelum suspek bertindak melarikan diri ke kawasan berhampiran dan gagal dikesan," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Pemeriksaan ke atas kenderaan menemukan beberapa guni mengandungi kotak-kotak rokok putih yang dipercayai diseludup dan tidak bercukai. Foto PGA
Pemeriksaan ke atas kenderaan menemukan beberapa guni mengandungi kotak-kotak rokok putih yang dipercayai diseludup dan tidak bercukai. Foto PGA

Ujar beliau, pemeriksaan ke atas kenderaan menemukan beberapa guni mengandungi kotak-kotak rokok putih yang dipercayai diseludup dan tidak bercukai.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, rampasan berkenaan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Ahmad Radzi memberitahu, pihaknya sedang mengesan pemandu terbabit serta mengenal pasti individu yang terlibat bagi membantu siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!