Bangsal kayu terpencil jadi transit rokok seludup

Mohd Hisham (dua dari kanan) menunjukkan rokok yang dirampas.
Mohd Hisham (dua dari kanan) menunjukkan rokok yang dirampas.
A
A
A

PASIR MAS - Taktik sindiket menjadikan sebuah bangsal kayu terpencil di kawasan pedalaman sebagai lokasi transit rokok seludup dibongkar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan, hujung bulan lalu.

Pengarah Kastam Negeri Kelantan, Mohd Hisham Mohd Nor berkata, serbuan kira-kira jam 10.45 malam pada 29 Jun lalu di Kampung Kubang Bulat, Gunong, Bachok itu menemukan 3,200 karton atau sebanyak 640,000 batang rokok putih yang disimpan di dalam 64 peti atau.

“Bangsal kayu yang tidak bernombor itu berada di kawasan terpencil, jauh dari jalan utama dan dipercayai dijadikan lokasi transit sementara sebelum rokok diedarkan ke pasaran tempatan.

“Kami percaya rokok ini dibawa masuk melalui laluan laut dan sungai-sungai di negeri ini sebelum dipindahkan ke bangsal berkenaan bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kastam Pengkalan Kubor, Rantau Panjang di sini pada Selasa.

Kotak rokok dalam guni yang disorokkan di dalam sebuah bangsal kayu di Bachok.
Kotak rokok dalam guni yang disorokkan di dalam sebuah bangsal kayu di Bachok.

Beliau berkata, rokok berkenaan dianggarkan bernilai RM128,000, manakala jumlah duti dan cukai yang cuba dielakkan ialah RM449,280, menjadikan keseluruhan rampasan bernilai RM577,280.

Menurutnya, sindiket dipercayai memilih lokasi berkenaan kerana keadaannya yang tersorok bagi mengurangkan risiko dikesan pihak berkuasa.

Mohd Hisham (tengah) memeriksa label pada kotak rokok.
Mohd Hisham (tengah) memeriksa label pada kotak rokok.

Mohd Hisham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan individu serta rangkaian sindiket yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, rokok merupakan barang larangan import yang tertakluk di bawah Butiran 1, Bahagian II, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Rokok dipercayai diseludup melalui jalan air dan darat untuk pasaran tempatan.
Rokok dipercayai diseludup melalui jalan air dan darat untuk pasaran tempatan.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan kepada JKDM melalui talian bebas tol 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran.

“Kami memberi jaminan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!