Kastam rampas 8.15 juta batang rokok putih seludup bernilai RM9.14 juta

BUTTERWORTH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya menumpaskan cubaan menyeludup 8.15 juta batang rokok putih seludup yang dianggarkan bernilai RM9.14 juta termasuk duti dalam satu pemeriksaan di Pelabuhan Klang, Selangor pada 24 Jun lalu.
Pengarahnya, Hasbollah Din berkata, rampasan itu dilakukan kira-kira jam 11.15 pagi oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pulau Pinang hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Westports Malaysia Sdn Bhd.
Menurutnya, kontena berkenaan diikrarkan membawa polyethylene tarpaulin (PE) atau kanvas plastik, namun pemeriksaan rapi mendapati ia sebenarnya mengandungi 815 kotak induk berisi 8,150,000 batang rokok putih yang disyaki tidak berkastam.
"Siasatan awal mendapati kontena itu dikendalikan oleh sebuah syarikat perkapalan dan syarikat logistik yang mempunyai cawangan di sekitar Subang Jaya, Selangor.
“Melalui dokumen yang diperoleh, dagangan berkenaan disyaki berasal dari sebuah negara di Asia Tenggara,” katanya pada sidang media di Kompleks Pencegahan JKDM Pulau Pinang, Perai di sini pada Jumaat.

Hasbollah berkata, pengimportan rokok adalah dibenarkan namun tertakluk kepada permit import mengikut peruntukan Bahagian II, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Beliau berkata, sindiket dipercayai membuat pengikraran tidak benar dengan mengisytiharkan muatan sebagai kanvas plastik bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum rokok berkenaan dipercayai diedarkan ke pasaran tempatan.
"Pengurus syarikat perkapalan berkenaan telah dipanggil bagi membantu siasatan. Pengurus itu merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an," katanya.
Hasbollah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana membuat perisytiharan atau dokumen yang tidak benar.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM500,000 atau dipenjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam kes berasingan, JKDM Pulau Pinang merampas pelbagai jenis minuman keras seludup bernilai RM237,244 termasuk duti dan cukai selepas menahan sebuah lori di susur keluar Tol Bukit Tambun (Utara), Simpang Ampat pada 29 Mei lalu.

Hasbollah berkata, rampasan dilakukan kira-kira jam 2.15 petang hasil operasi sepasukan pegawai Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pulau Pinang yang bertindak atas maklumat risikan.
"Pemeriksaan ke atas lori itu menemukan sejumlah minuman keras pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam di dalam muatan kenderaan berkenaan.
"Semua barang kes disita untuk siasatan lanjut manakala pemandu lori dan kelindannya berusia lingkungan 30-an yang merupakan lelaki warga tempatan turut ditahan untuk membantu siasatan," katanya.
Menurutnya, siasatan mendapati sindiket menggunakan lori bagi menyeludup minuman keras berkenaan untuk mengaburi pihak berkuasa sebelum dipercayai diedarkan ke pasaran tempatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut, memindah, mendeposit atau berurusan dengan barang tidak berkastam atau barang larangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

