Pelajar dibelasah gara-gara kacau teman wanita

AMPANG - Seorang pelajar sekolah menengah dibelasah di tangga blok sebuah flat di sini pada Jumaat selepas didakwa mengganggu teman wanita pelajar lain.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, kejadian pada jam 12.31 tengah hari itu berlaku ketika mangsa yang berada di sekolah dibawa oleh seorang pelajar lelaki ke tangga blok flat berkenaan.
Menurutnya, mangsa kemudian dipukul, ditampar dan ditendang oleh tiga lagi pelajar lelaki.
"Motif kejadian dipercayai kerana mangsa mengganggu teman wanita salah seorang suspek.
"Kejadian itu juga dirakam oleh seorang pelajar lelaki dan disebarkan dalam kumpulan WhatsApp," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tambahnya, siasatan mendapati suspek dan mangsa merupakan pelajar dari sekolah yang sama.
Jelasnya, kes masih dalam siasatan dan ketiga-tiga suspek telah ditahan untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 147/507B Kanun Keseksaan.
Kejadian berkenaan turut tular di media sosial menerusi rakaman video berdurasi tiga minit 28 saat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
